USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SUKARELAWAN USM BERBAKTI DI BALIK PULAU DALAM PROGRAM NEGARAKU PRIHATIN

WhatsApp Image 2017 07 24 at 3.57.53 PM

PULAU PINANG, 21 Julai 2017 - Sukarelawan Universiti Sains Malaysia (USM) di bawah kendalian Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM terus berbakti kepada masyarakat setempat apabila menyertai program Negaraku Prihatin anjuran iM4U baru-baru ini.

Program separuh hari di Kuala Sungai Pinang Balik Pulau ini meliputi tugasan yang diberikan kepada sukarelawan yang berbentuk gotong-royong mengecat luar dan dalam rumah milik seorang warga emas, Che Wan.

Menurut Che Wan, program berjalan dengan lancar dan beliau mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada iM4U dan juga pelajar-pelajar USM yang berganding bahu serta bersungguh-sungguh dalam aktiviti gotong-royong di rumah beliau ini serta mengharapkan program sebegini dapat diteruskan di masa akan datang dalam membantu golongan yang memerlukan.

Bagi sukarelawan, Aidiel Mat Isa, 22, pelajar Sains Kajihayat tahun 3, pengalaman berharga berbakti untuk masyarakat ini amatlah ditagih sesetengah pelajar USM dalam menimba ilmu serta pegetahuan bersama masyarakat.

“Program sebegini mempunyai impak yang tinggi kepada USM dan juga masyarakat dan pelajar-pelajar USM perlulah merebut peluang sebegini ketika di peringkat universiti dalam membina personaliti diri yang lebih mantap dan jitu menghadapi cabaran masa hadapan,” jelasnya yang turut disertai hampir 10 sukarelawan lain dari USM.

Bagi Unit Kebudayaan dan Kesukarelawanan BHEPA USM, program sebegini diharapkan membolehkan para sukarelawan yang terlibat menimba ilmu serta pengalaman baharu dan terus bersama berbakti untuk masyarakat.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1145

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024