USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KUNJUNGAN HORMAT PENGURUSAN TERTINGGI USM MENGADAP DYMM TUANKU RAJA PERLIS

DSC 1198 800x600

ARAU, PERLIS – Pada 4 Julai 2017, Pengurusan Tertinggi Universiti Sains Malaysia (USM) yang diketuai oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail mengadakan kunjungan hormat mengadap DYMM Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, yang juga Tuanku Canselor USM, di Istana Arau, di sini.

Turut serta dalam delegasi USM ialah kesemua empat Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Pengarah Kampus Kesihatan, Penasihat Undang-undang, dan beberapa pegawai atasan.

Berangkat sama dalam majlis tersebut ialah Raja Muda Perlis DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

DSC 1214 800x600

Naib Canselor mempersembah maklum kepada DYMM Tuanku Canselor mengenai perkembangan semasa, inisiatif yang diambil bagi menghadapi cabaran semasa serta kejayaan yang dicapai USM dalam tempoh suku pertama dan kedua tahun ini.

Turut dipersembahkan ialah peningkatan ranking USM dari kedudukan 330 (2016/2017) kepada 264 (2017/2018) dalam senarai ranking dunia QS World University Rankings yang dikeluarkan baru-baru ini, sekaligus meletakkan USM dalam kalangan kelompok 1% universiti teratas di dunia atau 300 universiti terbaik di dunia bersama-sama dengan empat lagi Universiti Penyelidikan (RU) Malaysia.

DSC 1232 800x600

Baginda turut diterangkan mengenai prospek prestasi USM sebagai satu-satunya universiti Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) di Malaysia serta peranan dan kepakaran yang boleh disumbangkan untuk membantu memajukan Perlis terutamanya pembangunan Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).

Tuanku Syed Sirajuddin juga berkenan menandatangani watikah pelantikan semula dua Pro Canselor USM untuk tempoh dua tahun lagi iaitu Tan Sri Razali Ismail (16 Julai 2017 - 15 Julai 2019) dan Tan Sri Dr. M. Jegathesan (1 Oktober 2017 - 30 September 2019).

DSC 1219 800x600

Asma turut mempersembahkan sebatang pokok tin (Ficus carica) kepada Tuanku Syed Sirajuddin sebagai tanda kenangan.

USM kini sedang giat menjalankan projek tisu kultur pokok tin dengan kerjasama pihak industri untuk menghasilkan anak pokok berkualiti tinggi menggunakan pelbagai baka bagi tujuan komersial di Malaysia.

Teks: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1315

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024