USM TERAJU PENGUMPULAN DATA GENOMIK PENYAKIT TALASEMIA
PULAU PINANG, 20 Julai 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) akan meneraju usaha mewujudkan maklumat pangkalan data genomik penyakit talasemia, sekaligus memperkasa kaedah rawatan dan pencegahan penyakit itu di negara ini.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Negara, Datuk Dr. Mary Yap Kain Ching berkata, input dari akademia dan pakar-pakar perubatan memberikan impak besar ke arah mewujudkan satu sistem rawatan yang efektif kepada pesakit.
"Dengan adanya pangkalan data seumpama ini, para doktor dapat mengakses maklumat dari aspek genetik penyakit yang boleh menentukan kecenderungan seseorang yang berisiko untuk mendapat talasemia.
“Inisiatif menangani penyakit berkaitan kecacatan darah ini adalah permulaan yang baik untuk negara membangunkan keperluan infrastruktur dan kepakaran yang dapat membantu mengembangkan perubatan genetik dan genomik ke bidang lain dalam perkhidmatan kesihatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena persidangan Global Globin 2020 Challenge (GG2020 Challenge) di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Turut hadir ke persidangan itu ialah Ahli Lembaga Pengarah Projek Variom Manusia (HVP), Profesor Sir John Burn.
GG2020 Challenge julung kali diadakan di luar Paris, dan Malaysia mendapat pengiktirafan menjadi tuan rumah kepada persidangan yang menghimpunkan profesional terkemuka yang berpengalaman luas dalam bidang penyakit darah (thalassaemia & hemoglobinopathies).
GG2020 juga adalah salah satu dari aktiviti penyelidikan di bawah HVP, sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa yang sedang berusaha untuk memastikan semua maklumat berkaitan variasi genetik serta kesannya terhadap tahap kesihatan manusia dapat dikumpul, disusun, difahami, dan dikongsi dengan mudah dan terbuka.
Projek GG2020 secara khususnya mahu mengaplikasikan perkembangan terkini dalam bidang 'human genomics' yang melibatkan pengumpulan sistematik dan perkongsian variasi data dalam menangani masalah kecacatan darah (terutamanya talasemia dan 'sickle cell disease'/SCD) dalam kalangan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Dengan tema "Moving towards Zero Thalassaemia", persidangan ini berperanan sebagai medan perkongsian ilmu, penemuan terkini, cerita-cerita kejayaan serta cabaran dan kepayahan yang dihadapi penghidap penyakit talasemia.
Persidangan ini anjuran bersama Kementerian Pendidikan Tinggi, USM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Node of the Human Variome Project (MyHVP) dengan kerjasama Malaysian National Commission for UNESCO (MNCU), The Human Variome Project, dan Malaysian Society of Human Genetics (MSHG).
Turut dimuatkan dalam majlis berkenaan adalah sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara USM dengan Global Variome Limited yang bertujuan memperkukuhkan hubungan kerjasama ke arah memperkasa aktiviti global berkaitan bidang genomik dan genetik perubatan.
Teks: Marziana Mohamed Alias
- Created on .
- Hits: 1714