FISIOTERAPI DAN SUKAN IBARAT IRAMA DAN LAGU

USM, PULAU PINANG, 18 Julai 2017 - Secara umum, skop tugasan seorang fisioterapi adalah untuk membantu merawat dan memulihkan pesakit yang mengalami kecederaan fizikal dan prospek kerjaya bagi bidang ini terbahagi kepada dua iaitu fisioterapi sukan dan fisioterapi hospital.

Menurut Ahli Fisioterapi Kontingen Majlis Sukan Universiti (MASUM) Universiti Sains Malaysia (USM), Nur Anis Azmi, skop tugasan bagi kedua-dua bidang ini adalah sama tetapi pendekatannya berbeza.

"Jadi, setiap ahli fisioterapi perlulah mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan setiap pesakit atau atlet mendapat manfaat daripada setiap rawatan yang dijalankan,” kata Anis yang juga bergandingan bersama Nurul Husna Abdul di sepanjang saingan MASUM di UKM 2017.

Tambahnya, pasukan Fisioterapi USM ini pada mulanya menggunakan khidmat staf Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) dan juga staf Bahagian Pemulihan di Hospital USM Kampus Kesihatan, Kubang Kerian, Kelantan.

“Cetusan idea Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM, Tuan Haji Muhamad Mohd Hanif ini menggarapkan tenaga pelajar dan kakitangan universiti dalam konsep kebersamaan dan proses pembelajaraan secara langsung justeru ia berjaya dipraktikkan oleh pelajar yang dilantik dalam pasukan ini,” jelasnya yang turut memberitahu bahawa idea ini juga mendapat sokongan secara terus oleh Mantan Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan ketika itu, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Zakaria.

Pasukan Fisioterapi USM terdiri daripada pelajar Pusat Pengajian Sains Kesihatan Kampus Kesihatan USM mendapat kepercayaan penuh daripada Sektor Penyediaan Atlet USM yang diketuai oleh Mustaffa Kamal Esa yang menganggap ianya sebagai langkah yang amat baik dalam memberi peluang kepada pelajar USM agar turut sama berbakti dan menyumbang kepada USM di dalam bidang kemajuan dan pembangunan sukan.

Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan, sama jugalah dengan fisioterapi dan sukan iaitu ianya saling berhubung-kait demi memastikan atlet dan sesebuah pasukan itu lebih mantap dan bersedia beraksi pada setiap saingan yang mencabar di peringkat dalam mahupun luar negara.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015