USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM, GUANGXI UNIVERSITY PERKUKUH HUBUNGAN DALAM PENGAJIAN BAHASA MELAYU

DSC 1472 800x600

USM, PULAU PINANG, 18 Julai 2017 – Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM) terus mengukuhkan kolaborasi antarabangsa dalam bidang pengajian Bahasa Melayu apabila menerima lawatan delegasi daripada Guangxi University for Nationalities (GXUN), China baru-baru ini.

GXUN diwakili oleh Pengarah Jabatan Kerjasama dan Pertukaran Antarabangsa, Profesor He Dong dan Ketua Jabatan Bahasa Melayu, Kolej Pengajian Asia Tenggara, Zhao Dan.

Lawatan ini adalah berikutan daripada usaha PPIK dalam memperluaskan program akademik mereka kepada lapan buah universiti di Negeri China iaitu program pemindahan kredit, khusus untuk pelajar dari Negeri China yang major dalam Bahasa Melayu.

He Dong berkata, program ini amat menarik dan bermanfaat untuk para pelajar kerana kursus-kursus yang ditawarkan berteraskan rentas disiplin.

DSC 1477 800x600

Dalam perbincangan yang dipengerusikan oleh Dekan PPIK, Prof. Dr. Narimah Samat, antara perkara yang diutarakan adalah penyesuaian perlu dilakukan pada rangka kursus program bagi memenuhi keperluan kedua-dua institusi terbabit.

Menurut Narimah, untuk pencapaian yang lebih cemerlang, kolaborasi sebegini dapat diperkukuhkan melalui pemeteraian memorandum perjanjian antara kedua-dua institusi.

Selain itu, turut dicadangkan ialah penganjuran bersama seminar, pelatihan penterjemah Bahasa Cina-Bahasa Melayu dan juga penawaran program pengajian pascasiswazah M.A. dan Ph.D.

Yang hadir sama dalam sesi ini ialah Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi & Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi PPIK, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong; Pengarah Pusat Mobiliti & Kolaborasi Antarabangsa (IMCC), Dr. Muhizam Mustafa serta ahli fakulti PPIK.

Teks: Nur Fariha Mohd Fariz (Pelajar intern MPRC)

  • Created on .
  • Hits: 1496

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024