SYARAHAN UMUM: DUA PROFESOR PPAG USM BERKONGSI PENEMUAN DAN KEPENTINGAN BIDANG ARKEOLOGI
USM, PULAU PINANG, 14 Julai 2017 – Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menganjurkan sesi syarahan umum pelantikan profesor yang dibentangkan oleh Profesor Dato’ Dr. Mokhtar Saidin dan Profesor Dr. Stephen Chia Ming Soon di Dewan Budaya, USM, baru-baru ini.
Syarahan Mokhtar menyentuh tentang penemuan kawasan kuno di Semenanjung Malaysia yang menjadi bukti penting dalam prasejarah dan tamadun di peringkat dunia.
Analisis beliau di tapak arkaeologi Bukit Bunuh, Perak dan Sungai Batu, Kedah memberi impak besar kepada dunia tentang kewujudan peradaban di kawasan tersebut, di mana ia dapat dijadikan lokasi kajian serta rujukan untuk masa hadapan.
“Dengan adanya makmal saintifik 3 dalam 1 di USM, yang juga satu-satunya fasiliti sebegini di Asia, kemudahan tersebut dapat digunakan dalam menjayakan kajian inovatif yang dapat dimanfaatkan,” tambah Mokhtar selaku Pengarah PPAG.
Dalam pembentangan Stephen pula, beliau mengupas tentang isu, cabaran dan masa depan bidang arkeologi di Malaysia.
“Kesulitan utama bagi generasi muda yang berminat dalam pengkhususan arkeologi adalah prospek pekerjaan yang terhad, namun ia boleh diubah dengan mewajibkan Penilaian Impak Persekitaran (EIA) di Malaysia supaya penilaian dapat dilakukan bagi setiap projek pembangunan, terutamanya yang mempunyai impak arkeologi terhadap alam sekitar.”
Sehubungan dengan itu, kewujudan industri arkeopelancongan (archeo-tourism) dapat membuka lebih peluang pekerjaan dalam bidang arkeologi dan juga meningkatkan ekonomi negara dalam sektor pelancongan.
Yang turut hadir adalah ahli Lembaga Gabenor USM, Profesor Datuk Dr. Omar Shawkataly; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Adnan Hussein selaku Pemangku Naib Canselor USM; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan; Ombudsman USM, Profesor Dato’ Seri Dr. Md. Salleh Yaapar; ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai utama universiti, serta hadirin dari kalangan staf dan pelajar.
Teks: Nur Fariha Mohd Fariz & Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi (Pelajar intern USM)/Suntingan: Mazlan Hanafi Basharudin
- Created on .
- Hits: 1779