USM TANDATANGAN MOU DENGAN KEELE UNIVERSITY UNTUK FASA KERJASAMA SETERUSNYA
PULAU PINANG, 14 Julai 2017 – Satu memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan University of Keele telah ditandatangani bagi meneruskan kolaborasi dalam pelbagai bidang demi kepentingan bersama yang telah terjalin sejak tahun 2012, di Staffordshire, England, baru-baru ini.
Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, dengan adanya MoU berkenaan, kedua-dua pihak dapat bekerjasama dengan lebih baik ke arah merealisasikan matlamat memperkasa pendidikan tinggi dalam konteks yang lebih luas.
“Dalam kita melangkah ke hadapan, mengharungi cabaran abad ke-21 ini – globalisasi, revolusi digital dan ketidakstabilan ekonomi – pelajar telah mula bertanya tentang nilai pendidikan yang akan mereka perolehi, yang mana ia berkaitan dengan beberapa perkara seperti pengalaman pelajar, dan dengan kedatangan 4IR, penggunaan automasi serta robotik, ramai yang akan berhadapan dengan isu kehilangan pekerjaan; justeru itu, kebolehpasaran graduan menjadi kriteria penting bagi pelajar memilih sesebuah universiti," katanya.
Sementara itu, Naib Canselor University of Keele, Profesor Trevor McMillan melihat penandatanganan MoU tersebut sebagai usaha positif untuk kedua-dua universiti bergerak ke peringkat lebih tinggi.
“Kami di Keele amat berbesar hati menerima kunjungan daripada Naib Canselor USM ke sini dan komited untuk bekerjasama dengan USM. Kami turut berharap hubungan dua hala yang terjalin sejak 2012 ini dapat diperkukuhkan dan berhasrat untuk melihat fasa kedua kerjasama ini akan membawa lebih banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak pada masa akan datang.”
Juga dikenali sebagai Keele University, universiti ini ditubuhkan pada tahun 1949 dan merupakan universiti awam yang diberi penarafan tinggi dalam bidang penyelidikan di Staffordshire. Keele tersenarai di tangga teratas dalam kalangan universiti di UK bagi pengalaman pelajar dan juga kebolehpasaran graduan.
Menjadi antara institusi pengajian tinggi tersohor di UK, Keele telah dianugerahkan dan diberi penghargaan dalam pelbagai aspek kecemerlangan. Institusi itu juga memiliki keluasan kampus terbesar di antara semua universiti di UK, di samping memiliki taman sains serta pusat persidangan yang tersendiri.
Turut hadir dalam majlis tersebut wakil daripada USM dan Keele University.
- Created on .
- Hits: 1377