USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM KUASAI KOLAM RENANG DENGAN 13 EMAS

19884312 1471279402933088 5778581460454255074 n

BANGI, 11 Julai 2017 - Kontingen Universiti Sains Malaysia (USM) menjadi tumpuan dalam acara renang pada Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti-universiti Malaysia (MASUM) 2017 apabila mengungguli pungutan 13 pingat emas pada hari kedua kejohanan yang berlangsung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Selain emas, skuad renang USM turut berjaya meraih 18 pingat perak dan 10 gangsa, menjadikannya pencapaian terbaik sejak kejohanan membuka tirai kelmarin.

Turut melakar kemenangan membawa pulang pingat, pasukan taekwando USM nyata cemerlang dengan pencapaian 1 emas, 1 perak dan 2 gangsa, sekaligus meletakkan jumlah pungutan pingat USM secara keseluruhan berjumlah 14 emas, 19 perak dan 12 gangsa.

Ketua Unit Penyediaan Atlet USM, Mustaffa Kamal Esa berkata, kejayaan ini adalah hasil perancangan dan persiapan yang rapi daripada semua atlet dan ia telah memberi ruang untuk pasukan USM mencipta kegemilangan dalam pencapaiannya setakat ini.

“Kita merangka satu persefahaman dan perancangan yang baik antara jurulatih, atlet dan pentadbir di USM dalam menyumbangkan kejayaan buat kontinjen USM, selain mengoptimumkan semangat juang untuk terus bersaing dan cemerlang,” katanya.

Malah katanya, kesediaan atlet dan jurulatih berlatih pada bulan puasa serta keupayaan mereka membahagikan masa di antara pelajaran dan latihan mengikut periodisasi latihan terancang telah memberikan impak yang baik buat sukan USM.

“Kita yakin atlet-atlet ini akan mencapai prestasi kemuncak mereka pada Sukan MASUM 2017 sekaligus dapat menyumbang lebih banyak pingat kelak,” ujarnya.

Pada temasya kali ini, selain daripada sukan renang, USM juga mempertaruhkan beberapa acara tumpuan dengan sasaran pingat, antaranya adalah acara Karate, Taekwondo, Bola Keranjang, Tenpin Boling, Olahraga, Catur, Boling Padang dan sebagainya.

USM turut menjadi tumpuan apabila ikon Program Warga Sukan USM dari acara memanah Fatin Nurfatehah yang juga adalah atlet negara turut tersenarai sebagai penyumbang utama pingat buat USM.

Foto: FB Arena Sukan USM

  • Created on .
  • Hits: 1619

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024