USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIMA HOSPITAL PENGAJAR UNIVERSITI METERAI MOA WUJUDKAN KONSORTIUM

19146101 1291426570956339 6498631675074506833 n

PULAU PINANG, Jun 2017 – Lima Hospital Pengajar Universiti baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) mewujudkan Konsortium Hospital Universiti Awam Malaysia (KHUAM) untuk membolehkan perkongsian ilmu, kepakaran dan kemudahan prasarana yang lebih efektif dan efisyen antara kelima-lima universiti tersebut.

Universiti-universiti terbabit ialah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM); Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM); Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM); Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM) dan Hospital Pengajar Universiti Teknologi MARA (HPUiTM).

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh, yang menyaksikan penandatanganan MoA KHUAM itu dalam majlis yang berlangsung di Putrajaya, menyifatkan inisiatif penubuhan konsortium itu sebagai membuka lembaran baru dalam bidang perubatan khususnya sektor penjagaan kesihatan.

Berikut ialah antara manfaat dan impak signifikan yang diharapkan hasil kerjasama strategik melalui penubuhan KHUAM:

  • Pengurangan/Penjimatan kos melalui perkongsian sumber - tenaga kerja (doktor pakar, doktor dan pensyarah), peralatan hospital, ubat-ubatan dan kemudahan prasarana;
  • Pengurangan kos ubat-ubatan dan peralatan hospital sehingga 30 peratus melalui pembelian pukal;
  • Peningkatan latihan dalam kalangan doktor pakar dan penghasilan lebih ramai doktor pakar untuk menampung keperluan negara;
  • Memperbanyakkan kajian/penyelidikan secara kolaborasi bersama dalam bidang perubatan serta inovasi;
  • Pengurusan data pesakit melalui sistem penyelarasan yang lebih efisien dan dinamik;
  • Penerokaan bidang baharu seperti pelancongan kesihatan (medical tourism) bagi menarik lebih ramai pelancong ke negara kita sebagai sumber penjanaan kewangan;
  • Penjenamaan semula Hospital Pengajar Universiti di negara ini sebagai pusat penyebaran ilmu perubatan, penyampai perkhidmatan penjagaan kesihatan, hab inovasi perubatan dan penjagaan kesihatan, serta pusat latihan pakar perubatan;
  • Penyediaan platform bagi menyelaras secara bersepadu terutama dalam usaha menambah baik perkhidmatan penjagaan kesihatan yang bertaraf global.

Dalam majlis yang sama, kerjasama strategik itu dilebarkan jaringannya apabila enam lagi universiti awam yang juga menawarkan program perubatan, namun belum mempunyai hospital pengajarnya sendiri, turut memeterai akujanji dengan KHUAM.

Universiti-universiti berkenaan ialah Universiti Putra Malaysia (UPM); Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA); Universiti Sains Islam Malaysia (USIM); Universiti Malaysia Sabah (UMS); Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

USM diwakili oleh Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail. Yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pemangku Naib Canselor UM, Profesor Dr. Awg Bulgiba Awg Mahmud; Naib Canselor UKM, Dato’ Seri Profesor Dr. Noor Azlan Ghazali; Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni) UTM, Profesor Dr. Zaini Abdullah; dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PPUIAM), Profesor Dr. Ahmad Hafiz Zulkifly.

  • Created on .
  • Hits: 2045

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024