USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KAMPUS KESIHATAN USM TERIMA ANUGERAH EMAS ‘LEAN MANAGEMENT’

WhatsApp Image 2017 06 12 at 12.04.23 PM

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 8 Jun 2017 – Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah tersendiri apabila dianugerahkan Pengiktirafan Emas ‘Lean Management’ atau Pengurusan Kejat oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Pencapaian ini adalah hasil dari pembentangan dan penilaian bagi tujuh projek yang memberikan impak kepada pelanggan serta penjimatan kos yang ketara.

Menurut Pengarah Kampus Kesihatan USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim pencapaian ini adalah satu pelengkap kepada kejayaan kampus secara keseluruhan dalam aspek kualiti.

“Alhamdulillah setelah lebih 10 tahun, Kampus Kesihatan mengekalkan pengiktirafan MS ISO, diikuti beberapa pencapaian Kumpulan Inovatif & Kreatif (KIK) di peringkat negeri dan kebangsaan, QE 5S, pengiktirafan Emas ‘Lean Management’ ini ibarat pelengkap dan amat besar ertinya buat Kampus Kesihatan,” kata Ahmad Sukari yang juga Pengarah Hospital USM.

“Saya bersyukur Kampus Kesihatan memiliki ramai penggerak program kualiti yang berkaliber serta anggota pasukan mempunyai komitmen yang tinggi.

“Harapan saya semoga iltizam dan kesungguhan sebegini berterusan dan sekaligus manfaatnya signifikan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan USM kepada pelanggan pada masa akan datang,” tambah Ahmad Sukari.

Bagi Ketua Projek Discharge Summary DS-GGP, Jawatankuasa ‘Lean Management’ Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail pencapaian ini adalah hasil kerja keras seluruh pasukan.

“Saya percaya kejayaan ini adalah usaha berterusan USM dalam meningkatkan mutu kualiti perkhidmatan,” kata Shaiful Bahari yang juga Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM.

“Secara peribadi, saya melihat aktiviti ‘Lean Management’ benar-benar berjaya membentuk kerjasama pelbagai disiplin. Gerakerja yang dirancang telah dilaksanakan dan meningkatkan persepsi positif dalam kalangan pesakit yang menjalani rawatan di Hospital USM.”

Pengiktirafan ini adalah bagi tempoh 2 tahun iaitu bermula 19 Mei 2017 – 18 Mei 2019.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1579

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024