USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-BFSU BEKERJASAMA DALAM MENGANTARABANGSAKAN BAHASA MELAYU

 1280052

KUALA LUMPUR, 29 Mei 2017 - Usahasama yang dimeterai Universiti Sains Malaysia (USM) bersama Beijing Foreign Studies University (BFSU) dalam mengantarabangsakan Bahasa Melayu dilihat mampu meningkatkan keberkesanan perhubungan diplomatik China-Malaysia.

Mewakili Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan berkata, kewibawaan program terjemahan dan interpretasi di BFSU amat mengkagumkan apabila menjadi program rujukan di universiti-universiti lain di seluruh negara China.

“Saya percaya dengan termeterainya MOU ini akan meningkatkan lagi hubungan kerjasama jaringan antarabangsa antara kedua-dua institusi dalam bidang berkenaan untuk jangka masa panjang,” tambahnya dalam ucapan sempena majlis penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) di IPS@USM, Wisma Sejarah, di sini baru-baru ini.

 1280058

Jelasnya lagi, melalui perjanjian ini, beberapa agenda strategik akan turut diadakan termasuk penawaran Program Pemindahan Kredit Pengajian Melayu/Bahasa Melayu kepada pelajar jurusan bahasa Melayu di BFSU.

“USM-BFSU juga bekerjasama menawarkan program ijazah pascasiswazah (sarjana dan doktor falsafah) dalam pelbagai bidang ilmu kemanusiaan yang diterajui oleh Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) melalui penubuhan Institut BFSU-USM di China,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Tertinggi BFSU, Profesor Dr. Han Zhen berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat berkolaborasi bersama USM yang merupakan satu-satunya universiti yang mempunyai taraf APEX di Malaysia.

Tambahnya, BFSU sentiasa mencari peluang dalam menjalinkan kerjasama bersama-sama universiti antarabangsa berteraskan matlamat utama BFSU dalam mewujudkan hubungan strategik dengan negara luar.

 1280064

“Di BFSU, kami menawarkan 84 program bahasa asing yang kini telah banyak melahirkan pensyarah program terjemahan dan jurubahasa UNESCO,” jelasnya lagi.

Yang hadir sama dalam majlis ini Dekan PPIK USM, Profesor Dr. Narimah Samat; Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) PPIK, Profesor Madya Dr. Hasuria Che Omar; Pengarah Institut Konfusius BFSU, Profesor Dr. Zhang Xiaohui; dan Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi, PPIK, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong.

ips 66

Ringkasan perancangan hasil pemeteraian MoU USM-BFSU ini:

  1. USM menawarkan Program Pemindahan Kredit Pengajian Melayu/Bahasa Melayu kepada pelajar jurusan bahasa Melayu di BFSU.
  2. USM mengadakan kerjasama dengan BFSU dalam pelatihan penterjemah bahasa China-bahasa Melayu.
  3. USM-BFSU bekerjasama menawarkan program ijazah pascasiswazah (sarjana dan doktor falsafah) dalam pelbagai bidang ilmu   kemanusiaan melalui penubuhan institut BFSU-USM di China.
  4. USM-BFSU bekerjasama menganjurkan Seminar Terjemahan dan Interpretasi Antarabangsa II pada 2018 yang dijangkakan akan diadakan di Malaysia, dan Seminar Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu-China (STBBMC) II pada 2019 yang dijangkakan akan diadakan di China.

Teks: Syuhada Abd. Aziz/Foto: Marziana Mohamed Alias

  • Created on .
  • Hits: 2327

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024