USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HOSPITAL USM TERIMA MESIN RAWAT KANSER TEKNOLOGI TINGGI, KOMITED BERI RAWATAN BERTARAF DUNIA

vc 44

KUBANG KERIAN, 14 Mei 2017 - Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) terus berada di hadapan dalam teknologi perubatan apabila dilengkapi dengan dua mesin yang berspesifikasi tinggi dalam merawat penyakit kanser.

Ini sejajar dengan taraf Hospital USM sebagai Hospital Pengajar Universiti (HPU) yang menjadi hospital rujukan utama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dalam menawarkan perkhidmatan perawatan pesakit bertaraf dunia.

Dengan dua unit mesin yang dinamakan SPECT-CT dan Pemecut Linear menjadikan Hospital USM sebagai perintis dalam kemajuan teknologi perawatan kanser tekak, kepala dan serviks dalam kalangan wanita.

mesin 7

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail berkata, dengan adanya mesin ini, Hospital USM mampu menyediakan rawatan radioterapi dengan teknik rawatan terkini yang lebih efektif. Pada masa yang sama, teknik rawatan ini juga mengurangkan kesan sampingan radiasi kepada pesakit kanser yang menjalani rawatan radioterapi.

Asma juga berkata, mesin SPECT-CT dan Pemecut Linear ini menggunakan teknologi digital sepenuhnya dalam proses perawatan pesakit kritikal.

“Penggunaan mesin berkenaan seiring dengan moto USM iaitu 'Kami Memimpin' yang menunjukkan Hospital USM komited menjadi perintis kepada hospital dan institusi perubatan lain dalam penggunaan teknologi terkini bagi merawat pelbagai penyakit dan memberi khidmat terbaik bagi menyelamatkan nyawa pesakit,” jelasnya.

“Kita jangka dengan adanya penggunaan mesin ini juga membolehkan Hospital USM menerokai perkhidmatan 'Medical Tourism' yang memfokuskan kepada penjanaan kewangan universiti terutama kepada masyarakat antarabangsa lantas membuka peluang ekonomi secara tidak langsung kepada masyarakat tempatan," katanya dalam majlis perasmian mesin SPECT-CT dan Pemecut Linear di Auditorium Perubatan Nuklear Hospital USM.

mesin 778

Yang turut hadir ialah Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Dato' Dr. Ahmad Razin Dato' Ahmad Mahir; Pengarah Kampus Kesihatan USM yang juga Pengarah Hospital USM, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim dan Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail.

Teks: Mohamad Iqmal Mathlan/Foto: Mohd Ridzuwan Ramly

  • Created on .
  • Hits: 1946

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024