USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

LIGA IPT 2015: USM GAH TERAJU CARTA

 DSC5045

PULAU PINANG, 11 April 2015 – Skuad bolasepak Universiti Sains Malaysia (USM) kini gah menerajui carta Liga IPT 2015 Divisyen 2 apabila menumpaskan pencabar terdekatnya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 3-0, pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Olaharaga USM hari ini.

Skuad bimbingan Ahmad Norafandy yang terkenal dengan gelaran 'Minden Tigers' tidak menunggu lama apabila seawal minit pertama telah menguji kekebalan benteng pertahanan UIAM menerusi rembatan kencang penjaring terbanyaknya, Hamza Mohamed namun berjaya diselamatkan penjaga gol UIAM, Ahmad Firdaus.

 DSC5031

 DSC5049

UIAM juga mempunyai peluang terbaik untuk memecah kebuntuan gol pada minit ke-25 menerusi Abdul Rahman, namun kegopohan menyempurnakan peluang satu sama satu dengan penjaga gol USM tidak dimanfaatkan sebaiknya.

Hujan yang turun sepanjang perlawanan tidak menghalang kedua-dua pasukan mempamerkan permainan yang bertenaga dan separuh masa pertama ditamatkan selepas Muhammad Hafiz dari USM melakukan sepakan bebas yang cantik, namun hanya sedikit melewati palang gol.

 DSC5065

Bermula separuh masa kedua, USM semakin agresif dalam mempelbagaikan corak serangan dan hampir menjaringkan gol pada minit ke-53, juga menerusi Hamza Mohamed, namun rembatannya sekadar menggegar palang gol pelawat.

Minit ke-62, bermulanya pesta gol USM menerusi rembatan dari 'permata hitam', Alyanbaawi Hani Jumah setelah menerima umpanan cantik hasil larian solo Muhammad Hafiz yang berjaya melepasi empat orang pertahanan UIAM.

 DSC5071

 DSC5084

Status UIAM sebagai Johan Divisyen 3 pada tahun lalu ternyata tidak menggerunkan skuad Minden Tigers yang berjaya memperoleh gol kedua pada minit ke-64, menerusi Ahmad Hambali setelah berlaku pergelutan di dalam kawasan gol UIAM.

Hamza Mohamed, membuktikan status penyerang berbisanya apabila menyempurnakan gol ketiga USM menerusi rembatan padunya pada minit ke-66 dan derita UIAM ditambah dengan kecemerlangan penjaga gol USM, Mohd Hafizh menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Fofana Amara pada minit-minit akhir perlawanan.

 DSC5126

 DSC5129

Naib Canselor USM, Profesor Dato' Dr. Omar Osman yang turut hadir memberikan sokongan amat berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan skuad muda USM.

"Walaupun beraksi di padang yang becak sepanjang perlawanan, disiplin yang baik dan kekuatan mental dan fizikal yang ditunjukkan, terbukti menjadi kunci kemenangan kita."

 DSC5098

 DSC5142

"Diharapkan, penyudah yang sempurna di dalam padang ini akan ditamatkan dengan genggaman juara liga pada penghujung musim nanti," tambah Omar.

Selepas 6 perlawanan, USM kini menghuni tangga pertama Liga Divisyen 2 dengan 13 mata, diekori rapat UIAM dan Kolej Komuniti Pulau Pinang dengan 10 mata.

 DSC5144

 DSC5164

Perlawanan USM seterusnya di gelanggang sendiri akan berlangsung pada 2 Mei 2015 nanti, bertemu UiTM Pahang di Stadium Olahraga USM, jam 4.45 petang. - Teks: Mohamad Danial Shahri/Foto: Mohd Fairus Md Isa.

  • Created on .
  • Hits: 1701

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024