USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BANGKIT DARI KEGAGALAN – ELWIN RAJ RANGKUL JUARA DAN ANUGERAH

 

KUBANG KERIAN, 5 Mei 2017 - Tiada istilah mengalah dalam kamus hidup membawa Elwin Raj, 17 tahun, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur bergelar juara sekaligus mencipta rekod peribadi apabila turut dinobatkan sebagai penerima Anugerah Al-Biruni dalam pusingan akhir ‘Malaysian Brain Bee Challenge (MBBC) 2017’ yang diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kesihatan pada 2 - 3 Mei yang lalu.

Elwin berjaya mengalahkan 26 peserta yang bertanding di peringkat akhir dengan mendapat markah sebanyak 122.5% dan merupakan markah tertinggi yang dicapai oleh peserta MBBC. 

Anak bongsu daripada tiga orang adik-beradik ini menyimpan cerita tersendiri sebelum menyertai MBBC 2017. 

Beliau yang pernah menjadi finalis MBBC 2016, menghubungi sendiri Ketua Projek MBBC USM untuk mendaftarkan diri sebagai peserta apabila beliau mendapat tahu sekolahnya tidak menghantar peserta menyertai pertandingan tersebut kerana guru yang pernah membimbing beliau sebelum ini bertukar ke sekolah lain.

Kesungguhan Elwin menyakinkan guru pembimbing sekarang, membolehkan beliau menyertai MBBC Zon D yang telah diadakan di Universiti Putra Malaysia. 

Anak kepada pesara guru besar ini menghabiskan masa sebanyak tiga jam sehari untuk membaca serta membuat kuiz secara ‘online’ dalam mempersiapkan diri menyertai MBBC pada peringkat zon yang bermula Mac 2017. 

 

Beliau yang bakal menduduki Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menganggap pembacaan bahan-bahan rujukan neurosains bagi pertandingan tersebut pada masa yang sama membantu beliau membuat persiapan menghadapi SPM yang melaksanakan konsep kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) terutamanya dalam matapelajaran sains.

“Bagi persiapan untuk ke peringkat antarabangsa, saya akan mula membaca buku-buku rujukan mulai sekarang dan saya mengharapkan sokongan yang lebih kuat daripada ibu bapa, keluarga serta guru saya agar saya dapat mencapai kejayaan yang lebih baik,” ujar beliau.

Menurut Pensyarah Kanan Jabatan Neurosains, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) merangkap Ketua Projek MBBC, ini merupakan kali pertama sejak MBBC diadakan, juara dan penerima anugerah Al-Biruni diterima oleh peserta yang sama.

“USM khususnya Jabatan Neurosains akan terus membantu Elwin dalam persiapan beliau untuk meneruskan cabaran di peringkat antarabangsa kerana tanggungjawab yang digalas adalah besar memandangkan pada tahun 2016, peserta dari Malaysia mendapat kedudukan 10 terbaik, dan diharapkan pada tahun ini, Elwin dapat meletakkan nama Malaysia di tahap yang lebih baik.

 

Elwin bakal meneruskan cabaran Malaysia ke Pertandingan International Brain Bee Championship (IBB) anjuran American Psychological Association (APA) di Washington DC, Amerika Syarikat dari 3 hingga 6 Ogos 2017 dan turut disertai oleh peserta daripada negara-negara lain seperti Romania, Turki, Rusia dan tidak ketinggalan Amerika Syarikat.

Teks:  Lailatul Hafiza Abdul Rashid/Foto:  Mohd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1185

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024