USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENTINGNYA PELIHARA ALAM SEKITAR UNTUK KELESTARIAN DAN KELANGSUNGAN AKAN DATANG

DSC 7689

USM, PULAU PINANG, 22 April 2017 – Memberi kesedaran dan pendedahan tentang kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar kepada pelajar dan warga Universiti Sains Malaysia (USM) melalui program-program yang diadakan adalah inisiatif yang dijalankan sempena program 'Biology Exhibition Day' anjuran Persatuan Sains Kajihayat dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kajihayat, USM baru-baru ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dato' Dr. Muhamad Jantan, penganjuran program ini adalah satu usaha untuk menyemai semangat kelestarian supaya sejajar dengan teras APEX yang memberi fokus kepada pembangunan kelestarian dan kelangsungan masa hadapan.

"Alam sekitar adalah sesuatu unsur yang perlu dijaga kerana ia merupakan satu sumber utama bagi semua hidupan di bumi.

DSC 7698

"Jemputan kepada pelajar-pelajar sekolah dan mahasiswa USM sendiri merupakan satu langkah yang baik kerana dapat mendedahkan mereka tentang pentingnya penjagaan alam sekitar supaya suatu hari nanti generasi muda ini dapat memperkasakan lagi dasar-dasar pemuliharaan alam sekitar pada masa akan datang," kata beliau yang mewakili Naib Canselor USM ketika merasmikan program ini.

Jelasnya lagi, melalui program sebegini, diharapkan semua pihak dapat bersama-sama berganding bahu bagi menjaga kelestarian bumi dan tidak hanya mengharapkan pihak-pihak tertentu sahaja untuk memeliharanya.

Sementara itu, Dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Prof. Dr. Amirul Al-Asyraf Abdullah berkata, terdapat dua sub-program yang menjadi fokus utama program 'Biology Exhibition Day' ini iaitu 'Back to Nature' dan 'Bio-Product Exhibition' yang memberi fokus kepada pendedahan mengenai kepentingan alam sekitar dan pendedahan mengenai penghasilan produk yang berasaskan sumber alam semulajadi.

"Diharapkan, melalui program yang diadakan ini, ia dapat memberi kesedaran dan melahirkan kecintaan untuk memelihara dan memulihara alam sekitar supaya aset-aset yang ada ini akan terus dipelihara hingga ke generasi akan datang," kata Amirul.

bio 6

Perasmian tersebut telah dihadiri oleh timbalan-timbalan dekan Pusat Pengajian Sains Kajihayat, pengurus program, penasihat-penasihat persatuan dan program, staf-staf, guru-guru, pelajar USM dan pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Islam (SMI) Al-Masyirah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Ling, SMK Bukit Gambir, SMK Jelutong, SMK Abdullah Munsyi dan Peneng Free School.

18034061 1511414095544801 5275563792094340296 n

Antara aktiviti yang dijalankan semasa program berlangsung ialah ceramah oleh Organisasi Bukan Kerajaan Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam sekitar dan pameran oleh pelajar, pensyarah, syarikat produk biologi, organisasi kerajaan dan badan bukan kerajaan.

Teks: Rodiah Md Daud (Pelajar Internship PP Komunikasi)

  • Created on .
  • Hits: 2535

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024