USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

WUJUDKAN EKOSISTEM PENYELIDIKAN UNIVERSAL DI USM

IMG 0046HG

PULAU PINANG, 9 April 2015 - Penyelidikan adalah untuk semua dan tidak hanya terhad kepada golongan-golongan tertentu sahaja, malah inisiatif Universiti Sains Malaysia (USM) dalam mewujudkan program "Young Strategic Thinkers For USM Future" merupakan landasan terbaik dalam mengumpul idea-idea baharu untuk memacu kecemerlangan universiti pada masa hadapan.

Demikian pandangan Pengarah Pejabat Pengurusan dan Kreativiti Penyelidikan (RCMO) USM, Profesor Dr. Lee Keat Teong merangkap ketua kumpulan kategori Penyelidikan dalam pertemuan bersama TVUSM di Institut Penyelidikan Perubatan Molekul (INFORMM) USM sempena bengkel "Young Generation Thinking" di sini, hari ini.

Lee Keat Teong turut menzahirkan rasa gembiranya dalam memenuhi hasrat universiti memacu usaha penyelidikan dan inovasi, apatah lagi sebagai sebuah Universiti Penyelidikan, inisiatif ini merupakan langkah proaktif untuk mengetengahkan idea dan pandangan generasi muda.

"Hal ini disebabkan oleh, pemikiran generasi muda kini amat berbeza berbanding generasi semasa. Kini, segala maklumat hanya di hujung jari dan proses ini sangat pantas, justeru proses penyelidikan juga bertambah mudah dengan kemudahan akses yang fleksibel," tambah Lee Keat Teong lagi.

Dalam persembahan kumpulannya di dalam bengkel, Lee Keat Teong mencadangkan agar tumpuan diberi kepada usaha mendemokrasikan penyelidikan dan inovasi (democratisation of research and innovation) dan kepentingan mewujudkan ekosistem penyelidikan dan inovasi universal untuk diterapkan oleh universiti pada masa hadapn.

IMG 0055h

Pensyarah Teknologi Bioproses, Pusat Pengajian Teknologi Industri (PPTI) Profesor Madya Dr. Liong Min Tze yang menyokong pandangan ini pula menegaskan bahawa antara cabaran yang perlu digalas oleh warga pendidik dalam konteks penyelidikan dan inovasi ialah menguruskan generasi Z yang mampu mengakses maklumat di hujung jari.

"Proses penyelidikan kini bertambah mudah, malah peluang untuk mendapatkan lebih banyak maklumat dengan adanya pelbagai aplikasi gajet, tidak mustahil penyelidikan kini adalah untuk semua dan semua boleh menjadi penyelidik.

"Konsep yang dipilih adalah berdasarkan kepada pendapat ahli-ahli kumpulan di bawah kategori penyelidikan dan kami menyasarkan untuk perancangan 25 tahun akan datang bagi kecemerlangan universiti ini pada masa hadapan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Rancangan Teknologi Persekitaran, PPTI, USM (Kategori Kewangan) Dr. Muhammad Izzuddin Syakir Ishak pula berkata, kelestarian dalam kewangan merupakan antara fokus utama selain ia merupakan perkara pokok yang harus diambil kira.

Muhammad Izzuddin juga menambah, bagi kumpulan kategori kewangan ini, bakat-bakat baharu yang berpotensi juga diambilkira selain turut menekankan beberapa aspek termasuklah simpanan dan penjanaan kewangan dalam menzahirkan matlamat universiti.

IMG 0049gjv

"Saya berharap agar pelaksanaan program berkenaan dalam jangkamasa tertentu umumnya akan memberi manfaat pada semua pihak khususnya dalam menghasilkan nilai tambah untuk kecemerlangan universiti amnya," ujar Muhammad Izzuddin mengakhiri perbualan bersama TVUSM.

"Young Strategic Thinkers For USM Future" merupakan program khas yang mengumpulkan kira-kira 40 orang pensyarah dan pentadbir di peringkat pertengahan bagi bersama-sama membina kerangka bagi memacu kecemerlangan USM pada masa hadapan.

Kumpulan-kumpulan ini dikenalpasti sebagai kumpulan yang akan memberi input-input yang sesuai dan futuristik untuk merangka perancangan dan hala tuju USM pada masa hadapan.

Sekaligus diharapkan dapat membawa pemikiran muda mengenai perancangan dan hala tuju universiti pada masa akan datang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah 

  • Created on .
  • Hits: 1421

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024