USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MASYARAKAT DIGESA MENJAGA KESIHATAN BUAH PINGGANG

17522819 498319623625485 2421253731266530651 n

BERTAM, 27 Mac 2017 – Mengikut statistik, hampir 7 ribu pesakit buah pinggang baharu dicatatkan di negara ini yang perlu menjalani rawatan dialisis setiap tahun. Menjelang tahun 2020, dianggarkan 50 ribu pesakit akan memerlukan rawatan dan jumlah ini dilihat meningkat dari tahun ke tahun.

Menurut Timbalan Pengarah Klinikal, Kelestarian dan Piawaian IPPT, Dr. Muhamad Yusri Musa, masyarakat perlu memandang serius tentang perkara ini dan tidak hanya mengambil mudah.

“Situasi peningkatan pesakit buah pinggang ini amat membimbangkan dan kita sebagai warga IPPT yang terlibat secara langsung dalam bidang perubatan perlu menyebarkan maklumat tentang penjagaan kesihatan buah pinggang ini kepada masyarakat,” katanya.

17498851 498319913625456 8453052150996746158 n

17499202 498319973625450 4206093942495937835 n

“Ibu bapa juga perlu memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak untuk menjaga pemakanan agar mengelakkan makan makanan yang tidak berkhasiat. Jangan dedahkan anak-anak kepada makanan segera atau minuman berkarbonat kerana boleh menyebabkan kegemukan dan sekaligus berisiko tinggi mengalami kerosakan organ buah pinggang.”

“Sekiranya ibu bapa sendiri yang tidak menjaga pemakanan berkhasiat, anak-anak akan turut mengikut jejak langkah tersebut dan ini mengundang risiko penyakit buah pinggang dan obesiti,” tambahnya lagi ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia peringkat IPPT di sini hari ini.

Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2017 yang bertemakan 'Penyakit Buah Pinggang dan Obesiti' ini adalah pertama kali disambut di IPPT.

17499462 498320116958769 8097875604386051940 n

Dalam majlis sambutan ini, Pakar Perubatan IPPT, Dr. Tan Kok Leng turut menyampaikan ceramah berkenaan kepentingan penjagaan buah pinggang dan obesiti dalam kalangan masyarakat.

Menerusi ceramahnya, Dr. Tan mengingatkan masyarakat agar mengamalkan gaya hidup sihat serta peka dengan bahaya obesiti dan kesannya terhadap kesihatan buah pinggang.

Penyakit berkenaan dapat dicegah melalui pendidikan dan kesedaran tentang risiko obesiti selain mengamalkan gaya hidup sihat, termasuk mengambil makanan berkhasiat dan rajin bersukan.

17523639 498320073625440 4029118230217330852 n

17498893 498320020292112 902521875769812862 n

Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah pameran, sesi ceramah kesihatan dan kuiz kesihatan bermatlamat untuk memberikan kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya penjagaan kesihatan buah pinggang.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan ialah Ketua Perkhidmatan Pembedahan dan Anestesiologi IPPT, Dr. Zainab Abdul Ghaffar.

Teks: Mohd Faisal Jamaludin

  • Created on .
  • Hits: 1580

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024