USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

BEBERAPA JABATAN DI KAMPUS KESIHATAN DISTRUKTUR SEMULA

Kubang Kerian, 8 April 2015 – Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menstruktur semula beberapa jabatan berkuatkuasa 1 April 2015 yang  bertujuan untuk menyatukan semula jabatan dan unit sedia ada di bawah satu pentadbiran yang lebih berpusat terutamanya yang melibatkan pelbagai jabatan termasuk Hospital USM.

Penstrukturan yang melibatkan hampir 300 orang staf ini adalah juga untuk meningkatkan kecekapan bakat yang ada dalam memenuhi keperluan universiti dengan memberi impak terhadap kemampuan  menghadapi cabaran yang ada dalam  mengubah mentaliti untuk  lebih berdisiplin, berdaya saing dan menyayangi universiti melalui slogan ‘Saya Sayang USM’.

Demikian dinyatakan oleh Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dato’ Dr. Mafauzy Mohamed dalam satu pertemuan di pejabatnya hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Mafauzy berkata, penstrukturan dan penjenamaan semula ini melibatkan  tujuh unit iaitu Unit Pengurusan Sumber Manusia (UPSM), Unit Kewangan, Unit Keselamatan, Unit Kejuruteraan dan Penyelenggaraan (UKP), Unit Sistem Maklumat, Unit Perhubungan Awam dan Pendidikan Kesihatan serta Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) di bawah satu pentadbiran yang dipusatkan sesuai dengan hasrat USM untuk memberi manfaat dalam aspek gunasama dalam pengurusan sumber manusia dan perjawatan, aset dan peralatan serta ruang dan kos pengurusan.

“Penstrukturan ini tidak menjejaskan proses kerja kerana unit yang terlibat tetap beroperasi seperti biasa, hanya melibatkan penggabungan unit-unit yang terlibat untuk menjadi lebih cekap, berkesan dan cost-effective serta mewujudkan kebersamaan sebagai satu universiti,” kata Mafauzy.

Jelasnya lagi,  penjenamaan semula ini juga diharap dapat meningkatkan semangat dan motivasi dalam kalangan staf yang terlibat untuk bekerja dalam satu keluarga baharu misalnya mereka yang berkhidmat di UPSM akan dibahagikan kepada tiga unit yang terlibat iaitu Jabatan Pendaftar, Pusat Transformasi Insan dan Unit Pentadbiran Hospital USM, Unit Kewangan akan digabungkan dengan Jabatan Bendahari, Unit Keselamatan digabungkan dengan Jabatan Keselamatan, UKP digabungkan dengan Jabatan Pembangunan, Unit Sistem Maklumat dengan Pusat Pengetahuan Komunikasi dan Teknologi, UHEI digabungkan dengan Pusat Islam manakala Unit Perhubungan Awam dan Pendidikan Kesihatan disatukan dan diberi nama baharu sebagai Pusat Media dan Perhubungan Awam.

Timbalan Pendaftar Kampus Kesihatan, Yusoff Abdullah pula menjelaskan bahawa semua operasi yang melibatkan jabatan dan unit yang terlibat berjalan seperti biasa dan dijangka pulih sepenuhnya dalam masa terdekat.

“Skop tugas semakin luas dan tidak hanya tertumpu kepada pusat tanggungjawab sahaja tetapi meliputi keseluruhan kampus dan carta organisasi juga akan berubah mengikut keadaan semasa tanpa menjejaskan prestasinya yang diharapkan akan lebih bersemangat untuk menyumbang tenaga kepada Kampus Kesihatan dan USM seluruhnya sekaligus membolehkan semua data dan rekod dipusatkan semula di bawah satu pengurusan,” katanya lagi.

Untuk meningkatkan lagi usaha penstrukturan ini, Yusoff menjelaskan pihaknya merancang untuk mengadakan ‘Kursus Pengukuhan Pasukan’ bagi menyemarakkan  semangat staf dalam masa tiga bulan pertama ini di samping mengadakan makmal hala tuju dan aktiviti jabatan bagi membincangkan perancangan semasa sesebuah jabatan dan unit di Kampus Kesihatan. - Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel & Muhd Zulkifli Zakaria/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto : Mohd Nazri Mat Zain

  • Created on .
  • Hits: 1636

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024