USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEIMBANGAN AKADEMIK DAN KEUSAHAWANAN DORONG DUA SAHABAT CEBURI BIDANG PERNIAGAAN

niaga12

USM, PULAU PINANG, 6 Mac 2017 – Kejayaan tidak datang bergolek, fokus pada minat yang ada dan berusaha untuk mencapai kejayaan tersebut serta jangan cepat putus asa, perlu berani merebut peluang dan menghadapi sebarang risiko.

Demikian ujar pelajar Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Mohamad Luqman Mohd Zain dan Mohamad Zul Ikmal Suhaimi yang telah membuka gerai makanan di Dataran Usahawan USM bersebelahan dengan Desasiswa Tekun.

Berbekalkan minat yang mendalam dalam bidang perniagaan dan pengalaman yang sedia ada, Luqman berkata, beliau dan Ikmal bersependapat untuk menjana pendapatan sendiri di samping memperkenalkan masakan warisan Kelantan di bumi USM ini melalui perniagaan.

“Saya membuka gerai menjual Nasi Ala Kak Wok yang merupakan resepi asli warisan keluarga saya. Nasi Ala Kak Wok adalah menu utama gerai kami dan selama sebulan beroperasi, gerai kami mendapat sambutan yang baik daripada pelajar USM kerana kami menawarkan harga yang berpatutan di samping membuka peluang pekerjaan kepada pelajar USM untuk menambah pendapatan mereka dengan bekerja secara sambilan di gerai kami.

untitledgfhdf

“Saya telah menceburi bidang perniagaan sejak berumur 17 tahun dengan menjual pakaian lelaki secara dalam talian. Perniagaan tersebut diteruskan sehingga kini dan sedikit sebanyak telah menambah pendapatan saya," kata Luqman yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Jelasnya, di USM, beliau juga menjalankan perniagaan sambilan semasa di tahun 2 iaitu menjual makanan barat dengan rakan kongsinya yang merupakan rakan sekelas beliau, Mohd Sahimi Sajali di Uptown Mall, USM.

Sementara itu, menurut Ikmal pula, amalan berniaga adalah mulia dan Rasulullah S.A.W. juga mula berniaga semasa baginda berumur 12 tahun dengan mengikut bapa saudaranya Abu Talib berniaga sehingga ke Syria. Beliau menjadikan Rasulullah sebagai idola dalam bidang perniagaan ini. Beliau juga turut menjalankan perniagaan sampingan dengan menjual wangian untuk lelaki dan wanita.

Katanya lagi, Selera Bonda juga menyediakan menu sampingan seperti Kerabu Maggi dan Pulut Mangga. Setiap dua minggu sekali, mereka akan pulang ke Kelantan untuk mengambil bekalan bahan mentah seperti beras, beras pulut, mee maggi dan bahan kering yang lain dan sekiranya tidak sempat untuk pulang, pembekal daripada Kelantan akan menghantar bekalan tersebut menggunakan khidmat pos melalui bas ekspres.

untitledyuiyiyuiyu

Nama Selera Bonda tercetus kerana resepi yang digunakan adalah resepi asli daripada Kelantan. Pemilik Selera Bonda, Luqman dan Ikmal menyatakan keinginan dan minat harus disertai dengan usaha dan motivasi diri yang tinggi, namun, jangan sekali-kali mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar iaitu menuntut ilmu kerana ilmu tersebut boleh diaplikasikan dalam memajukan perniagaan kelak.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria (Pelajar internship PP Komunikasi USM)

  • Created on .
  • Hits: 2053

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024