USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESARA USM TERIMA KERUSI RODA DIREKA KHAS

  2170014

BUKIT MERTAJAM, PULAU PINANG, 28 Februari 2017 – Pesara Universiti Sains Malaysia (USM) Jayavalan A/L Muniandy hari ini menerima bantuan berupa sebuah kerusi roda oleh USM bertempat di rumah kediaman beliau di sini.

Penyampaian ini dilaksanakan oleh Pengarah Pusat Sejahtera USM, Dr. Normala Abdul Wahid dan Penolong Pendaftar Kanan Unit Pentadbiran dan Perhubungan Staf USM, Siti Aishah Abdul Raffar.

Menurut Siti Aishah, ini adalah persepakatan dan inisiatif bersama antara Bahagian Sumber Manusia, Pusat Sejahtera dan Kesatuan Kakitangan Am (KKA) dalam bergerak bersama di bawah naungan Naib Canselor USM dalam menjaga kebajikan dan rawatan perubatan kepada warga USM yang memerlukannya.

“Kerusi roda yang diberikan kepada Jayavalan merupakan kerusi roda yang direka khas, ringan dan mudah digunakan beliau untuk menguruskannya sendiri dan kami akan menjaga dan mengawasi keadaan beliau dari semasa ke semasa sehingga beliau dapat berjalan dengan sendiri,” jelasnya.

 2170035

Sementara itu, Dr. Normala pula menyatakan bahawa Pusat Sejahtera akan mengikuti perkembangan berdasarkan kes yang berlaku mengikut kesesuaian.

“Kami juga akan melihat aktiviti yang dilakukan pesakit di rumah sendiri supaya selaras dengan pelan rancangan Pusat Sejahtera pada tahun ini iaitu melakukan lawatan ke rumah pesakit bagi melihat sendiri keadaan pesakit dan rawatan yang diperlukan, dan merancang yang terbaik untuk pemulihan pesakit,” jelas Normala.

Tambahnya, Pusat Sejahtera juga akan membantu pesakit untuk menguruskan kelulusan bagi pembiayaan kaki palsu kelak bagi memudahkan pergerakannya.

Bagi Jayavalan pula, beliau amat berterima kasih kepada pihak universiti kerana membantu beliau sehingga ke tahap ini dan berharap agar kesihatannya akan bertambah pulih untuk beliau melakukan aktiviti harian seperti orang lain.

Jayavalan pernah berkhidmat sebagai Pembantu Makmal di Pusat Pengajian Perumahan, Bangunan dan Perancangan USM dan bersara pada umur 57 tahun, dan beliau juga mengidap diabetes.

 2170052

Selain penyerahan kerusi roda, pemeriksaan kesihatan turut dijalankan seperti memeriksa tekanan darah, ujian gula dalam darah dan juga memeriksa luka yang tertinggal setelah kaki beliau diamputasi.

Yang turut hadir sama semasa penyerahan ini adalah Dr. Sulosanah A/P Sinnasamy; Presiden KKA, Abdul Rahman bin Wahab dan staf Pusat Sejahtera.

Teks: Ruziatun Amirah Ismail (pelajar internship PP. Komunikasi USM)

Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1388

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024