USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM BERBAKTISISWA UNTUK ORANG ASLI KAMPUNG POS CHIONG, PERAK

USM, PULAU PINANG, 27 Februari 2017 - Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan lagi aktivitinya dalam program baktisiswa apabila mengadakan program bersama orang asli di Kampung Pos Chiong, Gerik, Perak.

Penyelaras program ialah Pensyarah PPSK, Dr. Suziana Mat Yasin dan dibantu oleh 2 orang pensyarah dari program Kerja Sosial iaitu Dr. Paramjit Singh Jamir Singh dan Dr. Syazwani Drani sebagai pensyarah pengiring.

Program ini adalah program baktisiswa tahunan yang dianjurkan oleh Kelab Perancangan Pengurusan dan Pembangunan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan dan merupakan tahun ke-6 ia dianjurkan di perkampungan ini.

Menurut Syazwani, sejak 6 tahun program ini dijalankan di Kampung Chiong, kampung ini telah menerima bantuan daripada USM berbentuk sebuah perpustakaan mini.

"Hasil program ini diharapkan dapat mempertingkatkan kelestarian hidup masyarakat orang asli melalui kajian kes yang telah dijalankan, dan hasil kajian akan dianalisis serta satu pendekatan holistik akan diusulkan dalam memastikan kefungsian kehidupan mereka dapat dipenuhi sebaik mungkin," katanya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung, Tok Batin Ramli menyambut baik program yang dijalankan oleh pihak USM ini dan berharap kerjasama sebegini akan terus diperkasakan pada masa hadapan dalam memajukan lagi kehidupan orang asli di sini.

Seramai 34 orang pelajar dan 2 orang pembantu perubatan dan seorang jururawat dari Pusat Sejahtera terlibat dalam program selama 3 hari ini.

Program kali ini turut menerima bantuan daripada Pusat Urus Zakat Pulau Pinang yang membekalkan bahan keperluan harian untuk disumbangkan kepada penduduk kampung ini.

Antara aktiviti sampingan yang berlangsung adalah pertandingan bola sepak persahabatan, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, sukaneka dan gotong royong membersihkan kampung dan kajian kes terhadap 57 keluarga oleh Dr. Syazwani dan Dr. Paramjit.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1521

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024