USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

SYARAHAN CENPRIS - DATO' JENATON IMBAU SEJARAH KEHIDUPAN MASYARAKAT MELAYU AIR HITAM DAN TANJONG PULAU PINANG

16681676 610413312501640 1429491101807621733 n

USM, PULAU PINANG, 16 Februari 2017 - Air Itam seperti kawasan-kawasan lain di dalam Pulau Pinang mempunyai sejarah dan cerita tersendiri yang unik dan menggambarkan gaya hidup masyarakat orang Melayu sejak lama dahulu.

Menurut mantan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Profesor Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaff, sekali pun dalam sesetengah perkara, Air Itam tidak mampu melawan arus pemodenan dan pembangunan namun keasliannya masih dirasai hingga ke hari ini dan menjadikannya sesuatu yang unik di dalam Pulau Pinang yang sememangnya terkenal sebagai negeri bersejarah khususnya kepada orang-orang Melayu.

"Air Itam pada tahun 1940-50an terdiri daripada beberapa buah kampung dan kawasan di pinggir Georgetown dan Tanjung seperti Kampung Baru, Kebun Thena Tek, Kampung Malay Home, Padang Tembak, Kampung Melayu, Air Putih, Bukit Bendera dan Paya Terubong  yang terkenal pada masa itu.

"Sempadan Air Itam di sebelah timur dipisahkan oleh Sungai Air Itam yang terkenal pada ketika itu dengan Sungai Titi Merah yang memisahkan Air Itam dan Green Lane, Doby Ghout dan Batu Lanchang. Di sebelah barat dan selatan Bukit Bendera, manakala di sebelah utara ialah Bukit Gantung," kata beliau di dalam siri Syarahan CenPRIS - Dato' Jenaton kali ketiga di sini.

Tambah beliau, kebanyakan orang Melayu bekerja dengan kerajaan sama ada kerajaan tempatan atau persekutuan sebagai guru, polis, tentera, pemandu bas atau konduktor bas Municipal G.T.M.T dan pegawai kesihatan bandaran.

untitledghu

"Walaupun taraf hidup orang Melayu pada masa itu miskin tetapi kebanyakan daripadanya hidup sederhana dan pemuda-pemudi pula hidup sebagai orang yang berpelajaran atau budak bandar akibat daripada pendidikan rendah dan menengah yang banyak diajar dalam Bahasa Inggeris.

"Malah Air Itam mempunyai keluarga yang terkenal pada ketika itu seperti keluarga Aidid, Marikan dan Babji malah keluarga mantan Gabenor Pulau Pinang Syed Hasan Aidid sangat dikenali  kerana memiliki kedai emas di Penang Road yang dikenali sebagai New Gold Company," jelas Syed Omar.

Beliau turut menceritakan bagaimana orang-orang Melayu berasimilasi dengan pelbagai kaum yang wujud ketika itu serta keadaan Air Itam yang bersih dan rumah-rumah yang berbeza sebagai warisan sejarah utama dalam memahami keadaan masyarakat Melayu ketika itu.

Syarahan ini dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CenPRIS) USM dengan kerjasama keluarga Dato’ Jenaton (K-Jenaton), Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Pulau Pinang (PEWARISAN) dan Unit Sejarah Lisan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.

Syarahan yang dipengerusikan oleh pensyarah kunjungan CenPRIS Prof. Dato' Dr. Ahmad Murad Mohd Noor Merican turut dihadiri oleh Pengarah CenPRIS, Profesor Madya Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk dan kira-kira 50 orang peserta.

Teks: Nur Shahidatul Shahira Bt Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1631

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024