USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM SAMBUT BAIK PPPM PT

KUALA LUMPUR, 7 April 2015 - Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Omar Osman menyambut baik Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) - PPPM PT yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak hari ini.

Omar yang turut menghadiri acara tersebut di Kuala Lumpur berkata, PPPM PT adalah pelan bersepadu komprehensif yang menyokong pelan pendidikan sedia ada yang bertujuan mencapai objektif untuk menyediakan akses, ekuiti dan kualiti pendidikan untuk masa hadapan negara.

Tambahnya lagi, dengan fokusnya kepada pembangunan bakat masa hadapan yang berteraskan nilai, ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dengan penekanan kepada aspirasi negara PPPM PT berupaya menjanjikan masa hadapan yang gemilang untuk anak-anak kita.

"PPPM PT juga selaras dengan strategi untuk merapatkan jurang dalam menyediakan siswazah berkemahiran teknikal yang tinggi, menyediakan platform kebangsaan untuk pendidikan sepanjang hayat serta sistem pendidikan yang terbuka bagi melengkapkan lagi pencapaian dalam dapatan dan output daripada pendidikan tinggi," tambah Omar lagi.

Naib Canselor USM itu juga mengharapkan agar institusi pendidikan tinggi seperti lima buah Universiti Penyelidikan yang ada dapat ditransformasikan dan disesuaikan dengan keperluan membentuk entiti yang diberikan autonomi penuh dalam menghasilkan bakat-bakat negara ini yang berpegang kepada ketinggian nilai untuk pembangunan negara.

PPPM PT dilancarkan secara rasmi hari ini dalam satu majlis gilang gemilang yang dihadiri juga oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri Hj Muhyiddin Mohd Yassin, Menteri Pendidikan II Dato' Seri Idris Jusoh, menteri-menteri kabinet serta lebih 2,500 orang warga pendidikan tinggi negara. - Teks: Mohamad Abdullah 

  • Created on .
  • Hits: 1049

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024