USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PPKEE USM SUMBANG 50 UNIT OSILOSKOP GOOD WILL KEPADA KOLEJ VOKASIONAL NIBONG TEBAL

PPKEE photo 1

NIBONG TEBAL, Disember 2016 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) Universiti Sains Malaysia (USM) baru-baru ini menyumbang 50 unit osiloskop Good Will terpakai kepada Kolej Vokasional Nibong Tebal.

Peralatan terpakai lain yang turut disumbangkan ialah logic trainer beserta power supply (20 unit), multimeter analog (49 unit), PLC (3 unit) dan digital meter (14 unit), decade resistance (88 unit) dan decade capacitance (90 unit).

Alatan diserahkan oleh Dekan PPKEE, Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad kepada Pengarah Kolej Vokasional Nibong Tebal, Kamarulzaman Nayan dalam satu majlis ringkas di Bilik Seminar PPKEE di Kampus Kejuruteraan USM.

Mohd Rizal dalam ucapannya berkata aktiviti ini adalah sebahagian daripada khidmat Universiti kepada masyarakat, dan berharap kesemua peralatan makmal terpakai ini yang masih berfungsi dengan baik dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar di Kolej Vokasional.

Menurut beliau lagi, osiloskop analog ini disumbangkan kerana pengajaran-pembelajaran di universiti kini telah beralih kepada osiloskop digital seiring dengan perkembangan teknologi di industri.

Kamarulzaman dalam ucapan balasnya pula berterima kasih kepada USM khususnya PPKEE dan berharap ini adalah permulaan kerjasama di antara PPKEE dengan Kolej Vokasional Nibong Tebal.

“Saya dan pihak pengurusan atasan Kolej akan terus menerokai peluang-peluang baharu untuk berkolabarasi demi perkembangan akademik Kolej Vokasional Nibong Tebal," katanya.  

Yang turut hadir di majlis penyerahan tersebut ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan, Siswazah dan Jaringan), Profesor Dr. Mohd Fadzil Ain dan beberapa orang guru daripada Kolej Vokasional Nibong Tebal.

Teks asal: Rosni Hasan / Suntingan: Tan Ewe Hoe

  • Created on .
  • Hits: 1187

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024