USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

TERUSKAN WARISAN BUDAYA SENDIRI, HORMATI BUDAYA MASYARAKAT LAIN

IMG 0248hjm

USM, PULAU PINANG, 18 Disember 2016 – Setiap mahasiswa USM seharusnya bangga terhadap budaya kaum masing-masing dan meneruskan warisan budaya mereka yang tersendiri yang diamalkan sejak turun-temurun lagi, dan pada masa yang sama mengenali, memahami dan menghormati budaya masyarakat lain yang terdapat di negara kita.

Demikian kata Pengarah Pusat Perhubungan Alumni yang juga Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM) USM, Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya dalam ucapannya mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni) USM ketika melancarkan Pesta Amal Tahun Baru Cina USM 2017 di sini baru-baru ini.

Menurut Wan Ahmad Jaafar, dengan adanya sikap dan amalan tersebut, barulah generasi muda khususnya golongan mahasiswa dapat berkongsi dan bertukar-tukar maklumat tentang ciri budaya, bahasa, adat resam, kepercayaan dan warisan seni masing-masing sesama warga kampus dan luar kampus, dalam usaha memperkenalkan budaya sendiri yang unik kepada masyarakat lain.    

“Justeru itu, saya amat kagum dengan komitmen dan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Tionghua (SKKT) yang amat menitikberatkan sambutan Tahun Baru Cina iaitu perayaan terbesar masyarakat Cina dan tidak putus menganjurkannya saban tahun selama 10 tahun ini untuk diraikan bersama dengan warga kampus, masyarakat sekitar dan komuniti antarabangsa,” katanya.

Tambahnya lagi, universiti sentiasa menyokong aktiviti-aktiviti bercorak kebudayaan dan kesenian yang dianjurkan oleh mahasiswanya, terutamanya aktiviti-aktiviti yang dapat memupuk serta memperkukuhkan jalinan perpaduan dan silaturahim tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang budaya.

“Melalui penganjuran program seperti ini juga, diharap dapat memberi persepsi yang baik tentang universiti kita yang sentiasa berusaha melahirkan mahasiswa yang holistik dan seimbang yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga berkemahiran dalam pengurusan acara, di samping mempamerkan daya kepimpinan, semangat kerja berpasukan, semangat kesukarelawanan dan berkhidmat kepada masyarakat yang tinggi.”

Wan Ahmad Jaafar juga menyarankan agar pihak SKKT dan BHEPA dapat menggalakkan dan menjemput mahasiswa dari kaum-kaum lain untuk turut serta menjadi ahli jawatankuasa dalam penganjuran program ini.

Pesta Amal Tahun Baru Cina 2017 akan diadakan pada 11 Mac 2017 di Kampus Induk USM dan merupakan kali ke-11 ia dianjurkan.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluannya, Pengarah Projek Pesta Amal Tahun Baru Cina 2017, Cheng Wai Hoe, pelajar Komunikasi Tahun 2, menjelaskan bahawa pemilihan tema kali ini, ‘Mai Union’ adalah untuk menyemarak semangat perpaduan dalam kalangan mahasiswa USM.

“Perkataan ‘Mai’ membawa maksud mari atau datang dalam konteks bahasa Melayu Utara dan ‘Union’ merujuk kepada perpaduan yang dilahirkan melalui sambutan Tahun Baru Cina ini. Kedua-dua perkataan dalam huruf Cina bila digabungkan pula membawa maksud melangkah ke tahun Ayam dalam kalendar lunar Cina.

“Pihak SKKT juga sedang giat merancang untuk menjalankan beberapa aktiviti seperti penjualan limau mandarin dari sekarang hingga bulan Mac dengan tujuan mengumpul dana bagi membiayai sebahagian daripada perbelanjaan penganjuran program ini serta untuk didermakan kepada golongan yang memerlukan yang akan dikenal pasti kelak,” kata Wai Hoe.

Majlis pelancaran yang ringkas tetapi penuh bermakna ini diserikan lagi dengan pameran, persembahan flash mob dan tarian tradisional oleh ahli-ahli SKKT.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Gabungan Belia Persatuan Klan Cina Pulau Pinang, Loh Boon Huan; Yang Dipertua SKKT Kho Ying Han dan wakil Majlis Perwakilan Pelajar USM.

Selain itu, pada hari yang sama, SKKT juga mengadakan aktiviti membuat “Tang Yuan” sempena perayaan “Dong Zhi” atau Solstis Musim Sejuk.

‘Tang Yuan’ sejenis makanan tradisional Cina diperbuat daripada tepung pulut yang diuli dalam bentuk bebola dan dimasak dalam air manisan akan dihantar ke setiap desasiswa di kampus induk supaya pelajar yang tidak balik ke rumah semasa minggu ulangkaji peperiksaan dapat merasai suasana perayaan walaupun berada di universiti.

“Kami (SKKT) menyediakan sebanyak 350 mangkuk kecil ‘tang yuan’ dengan 100 mangkuk untuk dikongsi bersama selepas majlis pelancaran ini manakala 250 mangkuk lagi diedarkan kepada penghuni-penghuni di 6 buah desasiswa,” jelas Pengarah Projek Edaran ‘Tang Yuan’, Jocyelyn Goh, pelajar Sains Kemasyarakatan Tahun 2.

Teks: Tan Ewe Hoe / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1733

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024