USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PELAJAR TERBAIK BATI USM DIIKTIRAF OLEH PPM

pplm56

PULAU PINANG, Disember 2016 - Pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) Universiti Sains Malaysia (USM), Chow Yean Fun dipilih oleh Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) sebagai penerima hadiah PPM untuk pelajar terbaik Ijazah Sarjana Muda (Terjemahan dan Interpretasi) [BATI] USM tahun 2016.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Haji Abdul Adzis Abas di majlis khas yang diadakan bersama dengan penyampaian Diploma Penterjemahan Profesional PPM-DBP bagi sesi 2015/2016 kepada 40 orang para lulusan sempena perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Ke-35 PPM yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 10 Disember 2016.

Yean Fun selaku pemenang hadiah PPM ini menerima wangtunai sebanyak RM1,000 dan sijil.

Menurut Penyelaras Bahagian Pengajian Penterjemahan dan Interpretasi & Unit Penyelidikan Terjemahan dan Interpretasi PPIK USM, Prof. Madya Dr. Goh Sang Seong, anugerah ini diwujudkan sejak 2015 bermatlamat untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian cemerlang pelajar tahun akhir yang mengikuti program BATI USM.

Pihak PPM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Yean Fun dan berharap anugerah ini akan memberi motivasi dan menyemarakkan lagi semangat pelajar lain BATI USM untuk terus maju, meningkatkan kemahiran diri dan cemerlang dalam bidang penterjemahan.

Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) ditubuhkan pada bulan Oktober 1979 merupakan sebuah pertubuhan profesional dan sukarela yang dinaungi dan dipayungi oleh DBP, bekerjasama rapat dengan DBP dalam usaha menggerakkan kegiatan penterjemahan secara lebih serius dan profesional melalui pelbagai aktiviti bagi memperkukuh dan memperbanyak karya penterjemahan demi memperkaya khazanah ilmu dalam pelbagai bidang, khususnya daripada bahasa-bahasa asing untuk memenuhi tuntutan negara yang telah menetapkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pengajaran dan pembelajaran dari peringkat rendah ke peringkat pengajian tinggi selain membantu mengetengahkan bahasa Melayu ke arena antarabangsa.

Yang turut hadir ialah Presiden PPM Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, ahli- ahli Majlis, para tenaga pengajar PPM-DBP dan ahli-ahli PPM.

Teks: Tan Ewe Hoe / Foto: Dr. Goh Sang Seong

  • Created on .
  • Hits: 1774

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024