USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KEPENTINGAN IMUNISASI DALAM MENINGKATKAN KETAHANAN BADAN

cikgu12

KOTA BHARU, 29 Disember 2016 – Penyakit berjangkit adalah penyebab utama berlakunya kecacatan dan kematian dalam kalangan kanak-kanak. Imunisasi adalah cara yang efektif dalam mencegah dan mengurangkan penyakit ini dan semua kanak-kanak berhak mendapat imunisasi yang lengkap.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Maryam Azlan berkata, imunisasi adalah pemberian vaksin bagi mencegah penyakit-penyakit berjangkit yang merbahaya manakala vaksin pula ialah kuman yang telah dilemahkan yang mampu merangsang sistem pertahanan badan bagi melawan kuman yang membawa penyakit.

“Pada masa kini, walaupun kita mempunyai sistem penjagaan kesihatan dan standard kebersihan yang lebih baik, penyakit masih lagi wujud.

“Imunisasi memberi faedah kesihatan kepada kanak-kanak kerana dapat mengelakkan daripada dijangkiti pelbagai penyakit berjangkit serius yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian,” jelasnya ketika bercakap dalam temubual bersama radio tempatan dalam Program Doktor Di Radio, di sini.

Tambah Maryam lagi, di Malaysia Program Imunisasi Kebangsaan diperkenalkan pada awal tahun 1950-an dan perkhidmatan tersebut diberikan secara percuma kepada bayi dan kanak-kanak di klinik kerajaan bagi mencegah 12 jenis penyakit berjangkit disebabkan oleh bakteria dan virus tertentu iaitu tuberculosis (batuk kering), hepatitis B, difteria, pertussis (batuk kokol), poliomyelitis, Haemophilus influenza type b, measles (campak), mumps (beguk), rubella, human papillomavirus (HPV) dan Japanese encephalitis (JE).

cikgu1345

“Apabila vaksin diberikan kepada kanak-kanak, ianya akan membentuk antibodi atau pertahanan bagi melawan bakteria liar yang menyerang sistem badan.

“Dengan wujudnya antibodi tersebut, ia dapat melindungi kanak-kanak tersebut daripada dijangkiti penyakit berjangkit dan komplikasi penyakit tertentu, di samping mengelak serta mengurangkan komplikasi atau gejala penyakit,” jelasnya lagi.

Maryam berkata, semua vaksin yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan vaksin-vaksin ini telah dinilai mengikut keperluan piawaian antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanannya (efikasi).

"Menyentuh tentang imunisasi, ada sesetengah pihak yang menyatakan pemberian imunisasi kepada kanak-kanak boleh memberi kesan sampingan dan ibu bapa seharusnya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan betul sebelum menjatuhkan hukum terhadap sesuatu.

“Apabila timbul pandangan seperti itu, kita kena ketahui lebih lagi maklumat kerana risiko kesan imunisasi sampingan pengambilan vaksin ini lebih kecil berbanding jika anak-anak tidak mengambilnya dan anak-anak terdedah kepada jangkitan penyakit,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihak berwajib sentiasa memberi penerangan kepada pesakit atau ibubapa mengenai faedah imunisasi dan kepentingan mematuhi jadual imunisasi sebelum vaksin diberikan.

"Media sosial juga seharusnya memberikan kerjasama yang baik bagi menghebahkan perkara yang benar mengenai vaksin.

“Pengetahuan mengenai imunisasi adalah penting dalam kalangan ibu bapa, dan ibu bapa perlu memastikan anak-anak mendapatkan imunisasi supaya mereka dapat membesar dalam keadaan yang sihat dan selamat kerana imunisasi adalah hak anak yang perlu dipenuhi demi kelangsungan dan kesejahteraan hidup,” jelasnya lagi.

Teks/Foto: Wan Salizawati Wan Ismail

  • Created on .
  • Hits: 3173

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024