USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NAIB CANSELOR USM DILANTIK SEBAGAI PRESIDEN ASM

PULAU PINANG, 28 Disember 2016 -  Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Dr. Asma Ismail dilantik  oleh Yang DiPertuan Agong XIV sebagai Presiden Akademi Sains Malaysia (ASM) yang kelima berkuatkuasa hari ini.

Hal ini diumumkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Panglima Madius Tangau dalam satu kenyataan media.

"MOSTI akan meneruskan kerjasama rapat dengan ASM di bawah kepimpinan Profesor Datuk Dr. Asma Ismail," kata Menteri.

"Saya percaya pengalaman dalam bidang sains dan pengurusan bakat akan membawa kejayaan kepada ASM dan terus memposisikan ASM sebagai pemimpin bidang Sains, Kejuruteraan dan Teknologi," tambahnya.

Asma yang dilantik bagi tempoh tiga tahun iaitu sehingga Disember 2019 adalah bagi menggantikan Tan Sri Datuk Dr. Ir Ahmad Tajuddin Ali yang memegang jawatan tersebut sejak enam tahun lalu sehingga 27 Disember 2016.

Beliau mula dilantik sebagai Felo ASM pada tahun 2003 di atas segala sumbangan dan jasa beliau dalam bidang perubatan dan kemudian dilantik sebagai ahli majlis ASM bagi tempoh 2007-2011. Asma kemudian dilantik sebagai Timbalan Presiden pada tahun 2012 bagi tempoh empat tahun.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain

  • Created on .
  • Hits: 1206

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024