USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM-ITRAMAS BINCANG INISIATIF BIDANG SOLAR, LED DAN OLED

15590119 1262972557097108 5385166368983348232 n

USM, PULAU PINANG, 22 Disember 2016 – Selaras dengan misi untuk melestarikan hari esok, Universiti Sains Malaysia (USM) berkolaborasi dengan ITRAMAS Corporation iaitu sebuah syarikat peneraju global dalam bidang pencahayaan LED (LED Lighting) membincangkan inisiatif kerjasama dalam tiga bidang iaitu Solar, LED dan juga OLED.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Dato’ Dr. Muhamad Jantan, sesi percambahan idea atau brainstorming ini bagi kedua-dua buah institusi membincangkan dengan lebih terperinci tentang ketiga-tiga bidang ini serta menyediakan pelan atau rangka kerja bagi kerjasama ini.

“USM berkolaborasi bersama ITRAMAS sejak tiga tahun lalu dan ITRAMAS membantu dan menyumbang pencahayaan LED bagi dua bangunan baharu di USM iaitu Azman Hashim-USM Sports Arena dan Toray-USM Knowledge Transfer Centre,” tambah Muhamad.

Ketua Pegawai Eksekutif ITRAMAS Corporation, Lee Choo Boo yang juga alumni Sarjana Pengurusan Perniagaan USM berkata jalinan kerjasama industri dan akademia ini telah berlangsung sejak 20 tahun lalu.

“Melalui kerjasama dan rangka kerja yang akan dirancang, saya yakin ianya akan menjadi sebuah kisah kejayaan yang tepat dengan komitmen kedua-dua pihak," katanya.

USM menyokong penuh lingkaran quadruple helix ini melalui kerjasama kerajaan, universiti, industri dan masyarakat.

Seramai 12 orang wakil ITRAMAS yang terdiri daripada pengurus, jurutera dan pegawai pentadbiran syarikat tersebut menyertai bengkel sehari ini manakala USM disertai oleh penyelidik dan pensyarah dari pelbagai jabatan termasuk  Pusat Pengajian Sains Fizik, Insititut Penyelidikan dan Teknologi Nano Optoelektronik (INOR), PP Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, dan Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC).

ITRAMAS ditubuhkan pada tahun 1999 berpegang kepada usaha lestari dengan motto ‘For a Greener Tomorrow’ merupakan peneraju dalam bidang Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transportation System, ITS), Sistem Keselamatan dan Pemantauan (Security and Surveillance). 

Teks: Nor Rafizah Md. Zain / Foto: Ahmad Zulman Mohd Zain

  • Created on .
  • Hits: 1321

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024