USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KESEPADUAN ILMU ZAHIRKAN UMAT YANG BERJAYA

15622456 1260515904009440 1732863677923802655 n

USM, PULAU PINANG, 19 Disember 2016 - Rasulullah saw telah membuktikan bahawa keupayaan mengintegrasi antara wahyu dan akal atau sekarang disebut kesepaduan ilmu naqli dan aqli berupaya melahirkan generasi umat Islam yang mencapai kejayaan luar biasa dan pencapaian ilmuwan masih dikagumi oleh dunia Barat sehingga hari ini.

Menurut Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, kejayaan risalah tauhid yang dibawa oleh Rasulullah saw sebenarnya diiringi dengan kejayaaan mengintegrasikan kesucian naqli dan kehebatan akal yang diciptakan oleh Allah swt sehingga melahirkan para sahabat yang bukan sahaja menjadi tulang belakang kejayaan luar biasa yang diraih oleh Rasulullah saw, malah menjadi asas kukuh kepada penerokaan ilmu-ilmu baharu yang lahir dan meledak selepas itu.

"Dalam masa yang amat singkat, Rasulullah saw telah mengupaya dan mengoptimumkan kehebatan akal manusia dalam batas dan keterbatasan syarak dengan begitu cemerlang sekali dengan baginda sentiasa meraikan pandangan para sahabat dalam urusan dunia dan menggilap kepakaran mereka dalam bidang masing-masing yang menunjukkan tauhid dan keupayaan akal telah memperkasa dan memuliakan tarikh kehidupan dan perjalanan hidup generasi dan umat Islam ketika itu.

15665876 1260515930676104 7047453092160013146 n

"Tatkala benua Eropah masih mundur, Andalusia menulis karya dan pencapaian ilmiah yang sangat luar biasa, namun kegemilangan itu tidak kekal lama dan umat Islam tidak pula berjaya mengulangi pencapaian itu sehingga hari ini sedangkan umat Islam telah mencipta kejayaan demi kejayaan secara seimbang, selari dengan perjalanan masa, merubah tamadun dan corak pemikiran manusia manakala hasil kajian dan penyelidikan yang dicapai bukan disasarkan untuk kehidupan dan kemewahan dunia yang bersifat sementara, tetapi digunakan untuk memperkasakan hubungan tauhidik, antara manusia, alam dan Allah yang Maha Esa," kata beliau.

Berucap merasmikan Sambutan Mauldur Rasul peringkat USM, beliau menyeru umat Islam agar perlu segera kembali menghayati konsep dan tradisi integrasi ilmu naqli dan aqli sekiranya ingin kembali membina tamadun yang hebat atau sekurang-kurangnya membina tamadun "Negara Universiti" yang relevan, dirujuk dan dimuliakan malah ahli akademik dan agamawan hendaklah bergabung untuk mencapai apa yang dihasrat iaitu menjadi khaira ummah(umat terbaik) yang memimpin gelombang perubahan ke arah dunia yang harmoni dan diberkati oleh Allah swt.

"Sehubungan dengan itu, pertemuan dan muzakarah yang melibatkan ahli sains, akademik dan alim-ulama perlu dilihat sebagai suatu keperluan dalam konteks memperkasakan agenda untuk melahirkan umat yang memiliki sahsiah dan keunggulan ilmu yang mampu mengukuhkan unsur ketauhidan dan meningkatkan kualiti sains secara bersepadu," kata beliau lagi.

Yang hadir sama dalam majlis dihadiri lebih 400 orang warga USM tersebut ialah Pengarah Pusat Islam Profesor Madya Dr. Sofri Yahya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Maulid al-Rasul saw 1438/2016 Peringkat USM dan penceramah jemputan Ustaz Dr.  Mohd Nizam Kadir serta kumpulan Nasyid Simfoni yang menghiburkan para tetamu.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Dzulfikar Azmi Muhamad Aripin @ Isa

  • Created on .
  • Hits: 1245

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024