USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PROJEK BEKALAN AIR UNTUK KELESTARIAN DIIKTIRAF

15326608 1251092294951801 4994495273763766135 n

KUALA LUMPUR, 9 Disember 2016 - 'Pilot Project: Water For Life' Kampung Air Sungai Simpul, Sungai Jernih, Selama Perak yang dilaksanakan oleh Pasukan Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam (PPKA) Universiti Sains Malaysia (USM) bersama-sama Pejabat Daerah dan Tanah Selama, Perak mendapat pengiktirafan apabila memenangi Pertandingan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) kategori Perkhidmatan Awam hari ini dengan  membawa pulang wang tunai  RM30,000.

Hadiah telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Malaysia iaitu Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah

Pelaksanaan projek ini diketuai oleh  Izziantee bt Izzzahan dari Pejabat  Daerah Selama Perak yang turut menggemblengkan kerjasama dengan pelbagai  agensi seperti Jabatan Kesihatan Perak, Pasukan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Rejimen Jurutera Diraja Taiping.

Projek bekalan air untuk membantu masyarakat B40 itu berjaya menyalurkan kemudahan air bersih kepada 48 buah rumah dengan jumlah 202 isi rumah dengan kos sebanyak RM130,000 dan mengambil masa hanya 23 hari untuk disiapkan sebelum air bersih itu dapat disalurkan kepada mereka.

Menurut Dekan PPKA, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, pengiktirafan  ini menunjukkan kejayaan peranan kepakaran universiti yang digabungkan bersama agensi kerajaan untuk membantu mereka yang memerlukannya sebagai sebahagian daripada usaha pengembangan ilmu untuk faedah masyarakat.

"Projek bekalan air ini telah membawa teknologi dan kepakaran USM yang seterusnya memberi impak kepada mereka yang memerlukannya," katanya sambil  mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pasukan yang dibarisi oleh Profesor Ir. Dr. Mohd Nordin Adlan dan Profesor Dr. Hamidi Abdul Aziz serta seluruh pasukan di PPKA USM bersama-sama rakan pintar lain.

USM menyumbangkan kepakaran ‘horizontal roughing filter’ yang dibangunakan melalui penyelidikan d makmal dan produk ini kini dalam proses utk dipatenkan.

'Pilot Project: Water For Life' tersebut telah dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, YB Dato' Seri Hj. Hamzah Zainudin baru-baru ini.

Pertandingan ini adalah untuk mencari idea-idea lautan biru yang kreatif dan inovatif di bawah tiga kategori iaitu Perkhidmatan Awam, Keusahawanan Sosial dan Keusahawanan Komersil.

Bagi kategori Perkhidmatan Awam, ia menampilkan idea-idea terbaik bagi penyampaian perkhidmatan awam yang dapat memberi impak positif kepada kehidupan rakyat dan idea-idea kreatif dan inovatif merangkumi lima bidang fokus iaitu penyampaian perkhidmatan kerajaan, perkhidmatan perumahan dan kerajaan tempatan, kawalan harga barangan dan perkhidmatan, sumber asli dan alam sekitar, pendidikan dan pembelajaran.

Penyertaan untuk pertandingan kategori perkhidmatan awam ini telah mendapat sambutan yang begitu baik iaitu lebih daripada 600 penyertaan.

Program ini merupakan kelolaan NBOS, Kementerian Kewangan Malaysia, Unit Strategi Nasional (NSU) dan Pejabat Pembangunan Keusahawanan Nasional dengan kerjasama JPA, AIM, iM4U dan MAGIC.

Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) diilhamkan oleh prinsip-prinsip Blue Ocean Strategy (BOS) yang dicipta oleh Profesor W. Chan Kim dan Profesor Renée Mauborgne. Ia memberikan pendekatan yang kreatif dan sistematik bagi mewujudkan nilai yang tinggi pada kos yang rendah.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1113

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024