USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

INTERNATIONAL CULTURAL FIESTA 2015 TINGKAT KEFAHAMAN BUDAYA PELBAGAI NEGARA

 DSC7112

NIBONG TEBAL, PULAU PINANG, 5 April 2015 - International Cultural Fiesta 2015 (ICF 2015) yang bertemakan“Mystique Rhythm” adalah antara usaha Universiti Sains Malaysia (USM) bagi mempromosikan kepelbagaian budaya negara dunia dalam pembudayaan pengantarabangsaan dalam kalangan masyarakat kampus.

Menurut Timbalan Naib Canselor, Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (HEA), Profesor Dato' Dr. Ahmad Shukri Mustapa Kamal, dalam ucapannya berkata, ini adalah sebahagian daripada komitmen untuk meningkatkan kefahaman pelbagai budaya dengan melibatkan penyertaan pelajar antarabangsa yang ada di universiti.

 DSC7134

 DSC7199

“Menerusi program ini, kita dapat melihat interaksi yang baik di antara para pelajar tempatan dan antarabangsa yang menunjukkan kesungguhan dalam proses pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar," kata Ahmad Shukri.

Tambahnya lagi, hal ini penting untuk mewujudkan jaringan integrasi di antara negara-negara dunia yang harus diperkukuh secara berterusan terutamanya dalam kalangan pelajar.

Pengarah Pejabat Antarabangsa USM, Dr. Anees Janee Ali pula menyifatkan program yang bertujuan memperkenalkan keunikan kebudayaan pelbagai negara dalam kalangan pelajar ini telah mencapai kejayaan sesuai dengan hasrat USM untuk meningkatkan bilangan pelajar antarabangsanya.

 DSC7271

 DSC7297

"Program seperti ini perlu selalu diadakan, diperluas dan diteruskan pada masa akan datang untuk mengukuhkan perpaduan dan integrasi dalam kalangan pelajar antarabangsa dan tempatan” kata Anees.

ICF 2015 yang dilangsungkan di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan USM di sini menyaksikan penyertaan 18 buah negara dengan lebih 100 orang peserta membuat persembahan yang memukau para hadirin.

Antara negara yang terlibat dengan persembahan ialah China, Jepun, India, Indonesia, Pakistan, Afghanistan, Korea Selatan, Nigeria, Malaysia, Iran dan Jerman.  Pada tahun lalu acara ini diadakan di Kampus Kesihatan, Kelantan.

Pengarah Projek, Muhamad Naim Mohd. Isa, 22, menjelaskan program ini memberi peluang kepada para pelajar pertukaran antarabangsa USM berkongsi kepelbagaian seni dan budaya mereka dengan pelajar tempatan dalam memberikan kefahaman dan pengukuhan kerjasama yang ada.

 DSC7333

 DSC7325

“Terdapat beberapa lagi program yang akan dilaksanakan pada masa hadapan di bawah program pertukaran pelajar ini, antaranya 'Coffee Our Day' dan 'Colour One Malaysia'.”

Ujar mahasiswa tahun ketiga Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan & Sumber Mineral itu lagi, program yang dirangka bertujuan mempamerkan kepelbagaian bahasa dan budaya serta memberi pengalaman dan pendedahan baharu kepada pelajar untuk lebih mengenali keunikan dan keistimewaan tradisi kebudayaan sesuatu masyarakat di sesebuah negara.

Malam Gala tersebut turut mempertandingkan dua kategori hadiah iaitu Gerai Pameran Terbaik yang dimenangi oleh Jepun, Indonesia dan Iraq, manakala bagi kategori Persembahan Terbaik dimenangi oleh Korea Selatan yang menyajikan tarian berkonsepkan “Boy K-Pop”.

 DSC7235

 DSC7356

 DSC7345

Para penonton turut dihiburkan dengan acara selingan yang menampilkan penyanyi popular tanah air, Arja Lee dan Pegawai Kebudayaan USM, Andy Siti Nurhidayah Rahim.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah isteri Timbalan Naib Canselor HEA, Datin Dr. Aishah Knight Abdul Shatar dan Pengarah Kampus Kejuruteraan Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd. Ishak. - Teks: Siti Naquiah Binti Abdillah/Suntingan: Mohamad Abdullah/Foto: Shafizan Bin Zoolkiffli, Pejabat Pengarah Kampus Kejuruteraan.

  • Created on .
  • Hits: 1672

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024