USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH USM RAIH ANUGERAH ANTARABANGSA

15350518 1248791151848582 4108209996318914845 n

KUBANG KERIAN, 7 Disember 2016 – Pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), Kampus  Kesihatan mengharumkan nama universiti apabila meraih anugerah bertaraf dunia melalui kaedah penyampaian pembelajaran berkesan kepada para pelajar.

Dr. Muhammad Saiful Bahri Yusoff yang merupakan Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan Pusat Pengajian Perubatan (PPSP) itu menjulang nama USM di pesada antarabangsa dengan menerima Johan dalam pertandingan bagi slot “Teaching Delivery” oleh Graduate School of Education, Universiti Wharton Pennsylvania.

Saiful Bahri menerima anugerah tersebut berdasarkan salah satu inovasi penyelidikan beliau yang bertajuk “Promoting Resilience and Prevanting Burnout in Medical Students through the DEAL- Based Practice”.

Menurut Saiful Bahri, proses pemilihan Reimagine Education Award ini melalui beberapa fasa saringan untuk berlayak disenaraikan di dalam pencalonan penganugerahan.

“Terdapat tiga saringan yang perlu dilalui oleh peserta, seperti hasil kajian akan dinilai oleh 100 pelajar PHD dalam bidang pendidikan, fasa kedua pula, hasil kajian akan dinilai oleh 40 orang ahli akademik dan hanya sebanyak 140 hasil inovasi akan melalui fasa ketiga iaitu akan dinilai oleh 40 panel elit terdiri daripada pemain industri utama dunia seperti  IBM, Google dan Microsoft,” jelasnya.

Menurutnya lagi, persidangan ini adalah bertujuan untuk mengenalpasti peserta yang paling berjaya dalam mewujudkan inisiatif pendidikan transformatif, serta membantu pihak berkepentingan dalam menentukan hala tuju pendidikan masa depan, serta mencipta peluang untuk bekerjasama dari segi rangkaian dan pelaburan.

“Anugerah ini juga adalah untuk mengiktiraf penerima pelbagai bidang yang telah memberi sumbangan serta impak kepada sosio-ekonomi termasuk alam sekitar, pendidikan, inovasi, manusia sejagat dan juga ekonomi,” jelas Saiful.

“Saya sangat bersyukur dengan pengiktirafan ini dan akan menjadi pencetus semangat untuk meneruskan kecemerlangan dalam menyemai bakti kepada universiti tercinta ini,” katanya.

Teks:Mohamad Iqmal Mathlan / Foto: Muhammad Saiful Bahri Yusoff

  • Created on .
  • Hits: 780

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024