USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PESAKIT SPINAL BIFIDA PUNYAI MASA DEPAN

klantan331

TUMPAT, KELANTAN, 5 Disember 2016 – Bantuan yang disalurkan oleh Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Universiti Sains Malaysia (USM) kepada Mohd Aliff Ikhwan Asyraf Bin Mat Nawi atau lebih mesra dipanggil adik Aliff amat bermakna sehingga dia berjaya mencapai keputusan cemerlang dalam akademik dan mendapat penganugerahan dari pihak sekolah.

Menurut Pensyarah Kanan Terapi Carakerja selaku Ketua Projek Transformasi OKU PPSK, Dr. Mohd  Zulkifli Abdul Rahim, sebelum adik Aliff mendapat bantuan, dia mengadu perlu menukar kasut sekolah seminggu sekali akibat berjalan secara menyeret.

“Pihak Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) tampil berjumpa dengan saya untuk memohon bantuan dan bersetuju untuk bekerjasama dengan USM untuk membantu adik Aliff.

“Kami memberikan adik Aliff Caliper yang dipakaikan pada kedua-dua belah kakinya untuk mengimbangi tubuh dan membolehkannya pergi ke sekolah serta melakukan aktiviti seharian sekaligus berjaya dalam pelajaran,” katanya.

 IMG 20161207 WA0045

Menurutnya lagi, Spinal Bifida adalah kecacatan kekal yang berpunca daripada pembentukan tulang belakang yang tidak sempurna ketika lahir dan kesannya ialah pesakit tersebut akan lumpuh malah tidak mampu untuk berjalan, sebahagian kaki tiada deria rasa dan tidak mampu untuk mengawal pembuangan air besar dan kecil.

“Walaupun adik Aliff diberi Caliper sebagai bantuan, dia juga perlu menjalani fisioterapi berterusan untuk mengekalkan kekuatan otot,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, USM mempunyai infrustruktur yang lengkap untuk memimpin dalam transformasi OKU kerana USM telah ada Program Latihan Kerja yang intelek untuk melatih OKU bagi mendapatkan pekerjaan tetap dan Pusat Transformasi Khas Kerusi Roda yang boleh memberikan khidmat kepada masyarakat.

Teks & Foto: Muhd Zulkifli Zakaria

  • Created on .
  • Hits: 1094

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024