SAINTIS USM GONDOL ANUGERAH BERPRESTIJ DI KOREA

untitleddhvdhv

Tiga orang profesor dari Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi mengharumkan nama USM apabila berjaya menggondol beberapa anugerah utama dalam World Scientist Award (WSA) ke-3, World Inventor Award Festival (WIAF) ke-5 dan Korean Inventor Award Festival (KIAF) ke-5 dianjurkan oleh Korean Inventions News (KINEWS) di Seoul, Korea Selatan pada 4 Disember yang lalu. 

Menurut saintis USM, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad, ini merupakan acara tahunan  KINEWS untuk memberi pengiktirafan kepada ciptaan inovasi baharu  yang dibangunkan oleh penyelidik dan saintis serata dunia yang dipecahkan kepada beberapa  kategori yang berbeza-beza mengikut sumbangan dan impak yang diberikan oleh sesuatu inovasi yang dibangunkan itu. 

Saintis USM yang menerima anugerah pada majlis tersebut adalah Profesor Dr. Hanafi Ismail dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia dan Profesor Dr. Fauziah Ahmad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam. 

Ketiga-tiga saintis ini sememangnya sudah sinonim dengan dunia inovasi dan telah memenangi pelbagai pingat inovasi sebelum ini baik di Malaysia mahu pun di pentas dunia seperti di Geneva, Nuremberg, London, Brussels, Warsaw dan Korea Selatan.

Menurut Abdul Latif, inovasi yang dibangunkan oleh Profesor Hanafi yang bertajuk ‘Recycling of Rubber Wastes and Biodegradable Plastics’ telah dianugerahkan the World Golden Scientist Grand Award. Profesor Hanafi juga telah dinobatkan sebagai salah seorang daripada penerima anugerah utama iaitu anugerah Outstanding Leaders of Global Inventors. Di samping itu, beliau juga secara rasminya telah dilantik sebagai Visiting Profesor oleh Korea Invention Academy.

Abdul Latif dengan inovasinya yang bertajuk ‘NCMem: Indigenous Biomedical Lateral Flow Membrane’ telah berjaya mengalahkan peserta-peserta lain bagi kategori yang sama dengan menggondol 2 anugerah pada majlis tersebut iaitu anugerah Gold Peacock Grand Award dan anugerah World Inventor Award bagi kategori Applied Science.

Manakala inovasi yang bertajuk ‘USlope: An Innovative Slope Sustainabilty Software’ yang dibangunkan oleh Prof. Fauziah juga telah berjaya terpilih untuk memenangi 2 anugerah iaitu anugerah Thomas Edison Grand Award dan anugerah World Inventor Award bagi kategori Kejuruteraan Awam.

Menurut Abdul Latif, lebih 50 orang penyelidik dan saintis diberikan pengiktirafan dengan pelbagai anugerah mewakili kategori yang berbeza bagi KIAF, WIAF dan WSA bagi tahun 2016. 

Penerima anugerah pada majlis tersebut termasuklah datangnya dari Hong Kong, China, Thailand, Indonesia, Filipina, India, Mesir, Iran, Arab Saudi dan juga dari negara tuan rumah Korea. 

"Ini  termasuklah anugerah saintis muda (tunas harapan) yang terdiri dari pelajar-pelajar di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dan saintis dari Malaysia yang mewakili  UTM, UPM dan UMT yang turut menerima anugerah pada majlis yang sama," jelas beliau.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Profesor Dr. Abdul Latif Ahmad

Share This

Pusat Media dan Perhubungan Awam / Media and Public Relations Centre
Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800 USM, Pulau Pinang Malaysia
Tel : +604-653 3888 | Fax : +604-658 9666 | Email : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Laman Web Rasmi / Official Website : Universiti Sains Malaysia
Client Feedback / Comments
| USM News Portal. Hakcipta Terpelihara USM 2015