USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM PERLUAS PERKHIDMATAN KEPAKARAN AUDIOLOGI DAN PERTUTURAN BAHASA

untitledfvfvfv

USM, KUBANG KERIAN, 4 Disember 2016 - "Klinik Audiologi dan Pertuturan Bahasa memberi perkhidmatan yang cukup penting sebagai pelengkap bagi perkhidmatan lain sedia ada terutama bagi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang mempunyai kepakaran tinggi dalam pelbagai bidang," kata Pengarah Kampus Kesihatan, Profesor Dr. Ahmad Sukari Halim ketika merasmikan pelancaran klinik tersebut pagi tadi.

Menurut Ahmad Sukari, kesignifikanan pelancaran klinik ini adalah untuk menggabungkan perkhidmatan di kampus ini supaya lebih bersepadu iaitu dari sudut rawatan yang ada di HUSM dengan kepakaran pengajaran yang ada di Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK) dan ini penting untuk meningkatkan lagi tahap penyampaian kesihatan dan kemajuan akademik.

"Memandangkan jumlah pesakit semakin ramai selain turut mendapat rujukan pesakit daripada luar Kelantan, penubuhan klinik ini dilihat amat relevan walaupun penubuhannya bertempat di PPSK namun ianya masih di bawah HUSM.

untitledfvsfvfv

"Di samping itu, kita memerlukan tenaga pakar yang ada seperti pensyarah di PPSK yang mempunyai kepakaran dalam bidang audiologi, sumbing bibir dan sebagainya untuk menyumbang di samping menyokong program-program akademik," katanya lagi.

Tambah beliau, pesakit-pesakit akan mendapat rawatan secara lebih komprehensif iaitu sokongan rawatan susulan daripada klinik audiologi dan pertuturan setelah mereka menjalani pembedahan sumbing bibir, telinga dan sebagainya supaya mereka mendapat menjalani proses rehabilitasi yang optimum dan lebih menyeluruh.

Jelas beliau, kesedaran dalam kalangan ibu bapa amat penting dalam merawat penyakit berkaitan pertuturan dan pendengaran pada peringkat awal kelahiran lagi.

untitled v ffff

"Perkongsian ilmu dilihat cukup relevan dengan perkara ini; malah pelaksanaan program-program bersama komuniti luar seperti ini amat penting dalam usaha menyalurkan maklumat kesihatan dan kepakaran yang ada di Kampus Kesihatan USM dan ahli akademik perlu menggunakan peluang ini sebaik mungkin dalam membantu penghasilan penerbitan mereka," ujarnya.

Yang turut hadir, Pemangku Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak dan Timbalan Dekan Pelajar dan Jaringan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Profesor Dr. Din Suhaimi Sidek.

Teks & Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 1314

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024