USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM TERIMA SUMBANGAN ALAT BANTU PENDENGARAN

untitledyuiyuit

KUBANG KERIAN, 4 Disember 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan kolaborasi bersama badan korporat apabila mendapat sumbangan alat bantu pendengaran daripada Swiss Medicare Group Malaysia yang bernilai RM122,200 bagi kegunaan perawatan serta pembelajaran di Klinik Audiologi dan Pertuturan Bahasa. 

Dalam bidang pendengaran dan pertuturan, alat bantu pendengaran adalah sangat penting bagi merawat pesakit bermasalah pendengaran namun kosnya sangat tinggi. 

Menurut Pengerusi Program Audiologi Dan Patologi Pertuturan, Pusat Pengajian Sains Kesihatan (PPSK), Dr. Mohd Normani Zakaria, teknologi alat ini sangat cepat berevolusi kepada yang lebih canggih oleh itu pengajaran klinikal perlu sentiasa disokong oleh teknologi terkini di pasaran bagi memastikan integrasi teori kepada praktikal pelajar sentiasa ‘up to date’.

“Sejajar dengan pertambahan pesakit dan pengembangan klinik, kepakaran pensyarah memerlukan sokongan peralatan yang canggih bagi memberikan perkhidmatan yang maksimum kepada pesakit terutamanya pada peringkat rehablitasi iaitu rawatan susulan selepas pembedahan.

Oleh itu, kerjasama daripada badan korporat amat dialu-alukan dan sumbangan alat yang diterima pada hari ini juga akan turut dimanfaatkan untuk pembelajaran golongan orang kurang upaya (OKU),” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Pengarah Urusan Swiss Medicare Group Malaysia, Vincent Cheong menyatakan Swiss Medicare dan USM telah lama menjalinkan kerjasama dalam bidang audiologi dan pertuturan dan mengambilkira perasmian klinik yang baharu, ini adalah peluang terbaik untuk kita turut membantu memberikan sumbangan kepada masyarakat terutamanya bagi menyedarkan masyarakat akan kepentingan rawatan audiologi dan pertuturan pada peringkat awal.

“Kesihatan merupakan satu isu penting dan individu yang sihat boleh memainkan peranan yang efektif dalam pembangunan masyarakat serta negara, maka badan-badan korporat serta organisasi seperti kami ini perlu menjadikan ia tanggungjawab sosial kami untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan bantuan.

Pemilihan USM adalah bertepatan kerana USM mempunyai ramai pakar dalam bidang audiologi dan patologi pertuturan manakala Swiss Medicare mempunyai peralatan yang canggih dan apabila kedua-duanya bekerjasama, pastinya ia akan memanfaatkan komuniti luar,” ujar beliau.

Berkonsepkan ‘win-win situation’ kerjasama sebegini seharusnya diterima baik oleh semua pihak memandangkan ianya dapat memudahkan lagi sistem pengajaran dan pembelajaran serta perawatan dan perubatan.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Hafiz Yaacob

  • Created on .
  • Hits: 884

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024