USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

EGO KEJANTANAN PUNCA LELAKI HIDAP MASALAH KESIHATAN SEKSUAL

untitledghdgh

KUBANG KERIAN, KELANTAN, 2 Disember 2016 – Kajian dan maklumat terkumpul Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati jangka hayat lelaki negara ini lebih pendek sekitar lima hingga enam tahun berbanding wanita kerana ego menyukarkan mereka menjalani pemeriksaan kesihatan.

Masalah kesihatan seksual yang dialami kaum lelaki dijangka meningkat berikutan kadar penyakit kronik yang semakin tinggi di negara ini dan salah satu daripadanya berpunca dari masalah kesihatan seksual dan reproduktif lelaki yang kerap berlaku termasuk ejakulasi pramatang, disfungsi ereksi, sindrom kekurangan hormon testosterone, infertiliti (kemandulan), kanser testis dan prostat serta hiperplasia prostatik benign.

Dekan Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP), Universiti Sains Malaysia (USM) yang juga Pakar Perubatan Keluarga, Profesor Dr. Shaiful Bahari Ismail berkata, hal ini berikutan sikap kaum Adam yang kurang cenderung mendapatkan rawatan secara berkala di hospital terutama berkaitan penyakit kronik seperti diabetis, tekanan darah tinggi, kolesterol tinggi dan obesiti yang berkait rapat dengan masalah seksual lelaki.

untitleddhd

“Isu dan cabaran itu perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak bagi memastikan wujud kesejahteraan dalam hubungan suami isteri sekali gus mengelakkan perkara tersebut menjadi satu daripada punca perceraian di negara ini.

“Masalah kesihatan lelaki perlu diberi perhatian oleh semua lapisan masyarakat untuk memastikan keharmonian dalam sesebuah rumah tangga berkekalan dan perasaan malu harus diketepikan dalam memastikan tahap kesihatan diri sentiasa berada dalam keadaan yang baik,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk ‘Status Kesihatan Lelaki Di Malaysia’ dalam Seminar "Sexual Medicine For Primary Care", di Dewan Kuliah 4, PPSP, USM, hari ini.

Shaiful berkata, permasalahan utama dalam kesihatan kaum lelaki adalah disfungsi ereksi atau 'mati pucuk' yang merujuk kepada keadaan apabila zakar tidak berupaya menegang selepas mendapat rangsangan seks.

“Kebanyakan kajian menunjukkan bahawa disfungsi ereksi merupakan petunjuk awal bahawa seseorang lelaki itu menghadapi masalah serangan jantung (kardiovaskular), diabetes (diabetes mellitus), tekanan darah tinggi (hypertension) atau paras kolesterol darah yang tinggi (hyperlipidaemia).

"Hal ini juga ekoran ramai pesakit didiagnosis menghidapi penyakit kronik tersebut setelah mengadu berkenaan masalah disfungsi ereksi," jelasnya lagi.

audiologi2342

Ditanya mengenai seminar tersebut, Shaiful berkata, ia bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kesedaran berhubung isu-isu kesihatan lelaki, wanita dan transgender untuk melahirkan satu kumpulan yang berminat bagi mengetuai pasukan pantai timur."Saya berharap agar para peserta yang menyertai seminar ini berjaya membentuk satu pasukan untuk menjadi tempat rujukan berhubung kes-kes yang berkaitan dengan kesihatan seksual lelaki, wanita dan transgender.

"Selain itu, menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan ilmu apa yang saya pelajari sepanjang menghadiri kursus intensif berhubung kesihatan seksual di Budapest, Hungary pada bulan Oktober lalu kepada semua peserta seminar ini untuk mereka lebih bersedia apabila berdepan dengan pesakit, pasangan, keluarga dan masyarakat yang mengalami masalah ini," jelasnya.

Teks: Nik Sheila Erini Che Mat Kamel / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri.

  • Created on .
  • Hits: 1584

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024