USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MOHD FAIZ BUKTIKAN KEJAYAAN KTP UBAH KEHIDUPAN

IMG 0516

PULAU PINANG, 1 Disember 2016 - Mohd Faiz Abu Mansor, 23, adalah anak kampung yang hanya ingin bekerja menyarahidupnya dan ibu bapa dengan bekerja di Tapak Penyelidikan Arkeologi Sungai Batu Kedah.

Masa lapangnya dihabiskan begitu sahaja dengan pendapatan RM25 sehari dengan membantu kerja penyelidikan yang diketuai oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin.

Namun, hasil latihan dan  didikan pasukan Mokhtar yang menurunkan ilmu pengetahuan  tentang kemahiran arkeologi kepada masyarakat sekitar Sungai Batu yang merupakan kompleks tamadun tertua Asia Tenggara berdasarkan bukti ekskavasi yang dibuat, membolehkan anak muda ini menjadi pemandu pelancong dengan pendapatan harian mampu mencecah di antara RM100 hingga RM250 sehari sekarang ini.

"Saya tidak pernah menjangka akan mencapai kejayaan ini melalui usaha pemindahan ilmu yang dibuat yang membolehkan kami memahami pelbagai perkara tentang kewujudan Sg. Batu sejak abad kelima Sebelum Masihi yang berupaya menjadi tumpuan Arkeo-Pelancongan di daerah ini," kata Mohd. Faiz.

Sejak 2007 hingga hari ini, 49 daripada 97 tapak keseluruhannya telah diekskavasi dan dipetakan oleh USM yang dijangka akan diluluskan untuk pembangunan Tapak Warisan Tamadun Lembah Bujang  untuk nantinya dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia.

IMG 0608

Tambah Mohd. Faiz, beliau beruntung terlibat dalam program pemindahan ilmu ini sehingga berjaya pula mendapat lesen sebagai pemandu pelancong yang kini memberikan pendapatan lumayan dan sedang dikembangkan dengan usaha baharu dengan membawa mereka yang berminat untuk mendaki Gunung Jerai di samping akan membawa pelancong luar negara dalam jangka panjang nanti.

"Kami bersedia berbuat demikian dengan kejayaan menguasai bahasa Inggeris untuk menjayakan lagi usaha ini dan berharap dapat mencapai kejayaan lebih besar lagi nanti," kata Mohd. Faiz.

Sementara itu, Mokhtar menjelaskan, Mohd Faiz dipilih bersama-sama sebelas orang lagi penduduk tempatan dalamkalangan 20 orang yang disenarai pendekkan.

"Sejak usaha penyelidikan dan ekskavasi dibuat, kami telah menggunakan khidmat lebih 500 orang penduduk tempatan untuk kerja lapangan, analisis artifak dan konservasi tapak sejak 2009, namun tiada program khas dibuat untuk memindahkan ilmu secara berfokus untuk menjayakan program Arkeo-Pelancongan dalam jangka panjang seperti yang berlaku di Tapak Arkeologi Lenggong Perak," kata Mokhtar.

IMG 0502

Tambah beliau, usaha membangunkan bakat melalui memindahkan ilmu seperti ini terutamanya dalam kalangan belia tempatan amat penting dalam menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan tapak sejarah serta terlibatsama dalam pemuliharaannya.

"Program Pemindahan Ilmu ini yang dibuat melalui proses dan metodologi yang mengguankan kaedah teori dan praktikal dalam arkeologi, pendedahan terhadap tapak, artifak dan ekofak serta pelbagai kaedah saintifik lain yang boleh digunakan sebagai model penerangan kepada pelancong telah dibuat, malah kita bekerjasama dengan pihak Koridor Utara sehingga mereka mendapat green badge untuk melahirkan usahawan muda dalam jangka panjang," kata Mokhtar.

Program Pemindahan Ilmuyang dibuat sejak 2014 ini kini telah menampakkan hasil dan berupaya menyediakan bakat  yang akan menjayakan usaha Arkeo-Pelancongan apatah lagi apabila  kawasan Gunung Jerai dan sekitarnya dibangunkan sepenuhnya sebagai Geo-Park Kebangsaan melibatkan arkeo dan biosfera bakau seluas 501 km sehingga ke kawasan Merbok Kedah melalui kepakaran USM.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1088

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024