USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM DAN PDRM JALIN KERJASAMA LATIH PELAJAR SAINS FORENSIK

polis1

USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) hari ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dalam bidang Sains Forensik dalam satu majlis di Dewan Persidangan Universiti (DPU) yang melibatkan Ketua Polis Negara, Inspektor General Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar dan Naib Canselor USM Profesor Datuk Dr. Asma Ismail.

Menurut Asma, jalinan kerjasama ini merupakan salah satu kemudahan untuk para pelajar terutamanya dalam menjalani latihan simulasi sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan setelah bergelar graduan USM.

"Kolaborasi ini juga memberikan banyak peluang untuk menjalankan pelbagai projek penyelidikan yang melibatkan penggunaan senjata api, gunshot residue dan questioned document dengan bantuan dan sokongan pihak PDRM sebagai projek tahun akhir para pelajar pascasiswazah bagi pengajian peringkat Sarjana dan Kedoktoran," jelasnya.

IMG 0055

Tambahnya, penandatanganan MoA ini merupakan komitmen pihak USM dalam menyediakan fasiliti yang selesa untuk para pelajar serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif.

"Ia merupakan satu suntikan baharu dan dorongan semangat kepada seluruh warga Universiti yang terdiri daripada para pensyarah, staf dan pelajar untuk memantapkan lagi penyampaian perkhidmatan, pengajaran, pembelajaran, penyelidikan dan program komuniti," ujarnya lagi.

"Saya secara peribadi juga mencadangkan agar kerjasama ini dipanjangkan kepada melatih jururawat-jururawat yang bertugas di Unit Kecemasan Hospital supaya faham dan mahir dalam mengambil spesimen bagi membantu siasatan pihak polis," kata Asma yang juga berharap pengajaran dan pembelajaran boleh dilakukan secara fleksibel dan bukan sahaja perlu hadir ke kelas.

polis2

Sementara itu, Khalid pula menyifatkan pemeteraian persefahaman antara USM dan PDRM ini bukan sahaja dapat dilihat dalam konteks kesinambungan hubungan sedia terjalin antara kedua-dua institusi ini sejak tahun 2000, bahkan membuka lembaran baru yang menjurus kepada kolaborasi strategik pengajian dan penyelidikan dalam bidang sains forensik, bagi manfaat bersama.

"Saya berbesar hati untuk berkongsi bahawa PDRM telah menandatangani MoU pertama dengan pihak USM pada 30 Julai 2003 dan kerjasama ini diperkasakan lagi dengan termeterainya Memorandum Perjanjian (MoA) dengan USM pada 21 Jun 2008, di mana objektif utamanya adalah untuk menjalinkan kerjasama dalam bidang Sains Forensik bagi tempoh lima tahun," katanya dalam majlis yang dihadiri 100 orang ini.

polis8678

gfhgth

Melalui pemeteraian MoA ini, USM telah menawarkan kemudahan tempat bagi 5 orang pegawai PDRM untuk menyambung pengajian meliputi bidang pengajian Sains Forensik peringkat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dengan pengecualian sepenuhnya yuran pengajian.

IMG 0135

Yang turut hadir adalah Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM, Komisioner Polis Dato' Sri Zulkifli Abdullah; Ketua Polis Pulau Pinang YDH CP Dato' Abdul Ghafar Rajab; Pemangku Dekan Pusat Pengajian Sains Kesihatan Profesor Dr. Wan Rosli Wan Ishak; Ombudsman USM Dato' Seri Dr. Md Salleh Yaapar; Timbalan Bendahari Kanan Mohammad Abdullah; Dekan Institut Pengajian Siswazah Profesor Dr. Rozman Haji Din; Pengarah Jabatan Keselamatan USM Profesor Dr. P. Sundramoorthy dan pensyarah-pensyarah PP Sains Kesihatan USM.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah & Nor Rafizah Md Zain / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 2129

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024