USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

GAYA HIDUP TIDAK SIHAT ANTARA PUNCA KANSER MULUT

 DSC6037 copy

CAMERON HIGHLANDS, 2 Disember 2016 – Kanser mulut adalah satu keadaan di mana sel-sel dari tisu bahagian mulut tumbuh secara tidak normal. Ia boleh melibatkan bahagian lidah, bibir, bahagian dalam pipi, gusi, lantai mulut dan lelangit.

Kanser mulut sememangnya berbahaya kerana bukan sahaja memberikan kecacatan kepada struktur mulut dan muka malahan boleh menyebabkan kematian.

Menyedari tentang kepentingan kesedaran bahaya kanser mulut, Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) dengan kerjasama Bahagian Jaringan Industri & Masyarakat (BJIM), Universiti Sains Malaysia (USM) mengambil inisiatif mengadakan program kesedaran kanser di Penempatan Orang Asli Kampung Leryar, Pos Menson, Cameron Highlands, Pahang baru-baru ini.

 DSC6059 A

Menurut Ketua Projek Dr. Norehan Mokhtar, program ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli tentang bahaya kanser mulut.

“Selain itu, program ini menekankan kepentingan pengesanan awal kanser mulut kerana jika dikesan pada peringkat awal ianya lebih mudah untuk dirawat dan harapan untuk sembuh adalah lebih tinggi.

 DSC6066 copy

“Seterusnya program ini juga bertujuan memperkasakan Orang Asli dengan memberikan mereka pendedahan tentang pemeriksaan mulut kendiri untuk mengesan kanser mulut,” kata beliau.

“Amalan seperti merokok, mengunyah tembakau, mengunyah sirih atau pinang dan pengambilan minuman beralkohol yang berlebihan boleh meningkatkan risiko seseorang mendapat kanser mulut.

“Amalan yang dinyatakan ini sememangnya masih diamalkan oleh masyarakat Orang Asli sehingga kini dan untuk menyedarkan mereka, aktiviti seperti ceramah dan pameran mengenai kanser mulut telah diadakan dalam program ini.

“Selain itu, saringan kanser mulut dan demonstrasi pemeriksaan kanser mulut telah dibuat oleh pakar pergigian IPPTsebagai langkah pengesanan awal kanser mulut,’’ jelasnya lagi.

 DSC6072 A

Program ini melibatkan seramai 350 orang penduduk orang asli dari Suku Kaum Semai dan turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Cameron Highlands.

Menurut Pembantu Pembangunan Masyarakat JAKOA, Encik Mohamad Shubli Saleh, pihaknya mengalu-alukan sebarang bentuk program yang dianjurkan untuk penduduk Orang Asli.

“Kami di JAKOA amat berbesar hati menerima sebarang program apatah lagi program kesihatan kerana rata-rata penduduk Orang Asli kurang mengambil berat soal penjagaan kesihatan,” katanya.

 DSC6107 A

 DSC6112 A

“Saya amat berharap dengan program seumpama ini akan mencetuskan kesedaran kepada mereka supaya mengamalkan amalan dan gaya hidup yang sihat,” tambahnya lagi ketika ditemui semasa program berkenaan dijalankan.

Selain daripada aktiviti kesedaran kanser turut diadakan pertandingan mewarna untuk kanak-kanak Orang Asli.

Teks: Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid

  • Created on .
  • Hits: 1962

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024