USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MELESTARIKAN USAHA PEMINDAHAN ILMU MELALUI KEJAYAAN KOLABORASI HASIL PENYELIDIKAN

prof46

PULAU PINANG, 1 Disember 2016 - Program Pemindahan Ilmu yang dilaksanakan melalui peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 berjaya menghasilkan 459 projek yang melibatkan 1,698 orang ahli akademik dari pelbagai disiplin ilmu, 875 siswazah pelatih, 275 rakan industri dan 184 komuniti.

Cabaran seterusnya ialah bagaimana untuk melestarikan usaha yang dilakukan untuk faedah masyarakat setelah usaha dibuat untuk turun padang dan membantu menyelesaikan sebahagian daripada keperluan komuniti setempat.

Menurut pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Susilawati Binti Kasim, hal ini perlu dilihat dalam jangka panjang dan menjadi cabaran besar setelah kejayaan yang dicapai dalam membangunkan kepercayaan dan mentransformasikan komuniti setempat dengan bersama-sama menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Beliau bersama lima rakan akademianya menjalankan Projek Program Peningkatan Pengetahuan Pengusaha Sayuran dan Penjanaan Ekonomi Di Kawasan Kundasang Sabah.

"Ketika memulakan projek ini, kami perlu mendapat kepercayaan masyarakat setempat yang telah biasa dengan kaedah penanaman sayuran yang menggunakan baja dan racun tanpa pengetahuan dan kawalan sewajarnya termasuk menggunakan baja subsidi yang tidak sesuai dengan penanaman sayuran, mengancam alam sekitar dan kesihatan malah juga menyebabkan pembiakan lalat yang banyak akibat buangan bahan sayuran di kawasan mereka," kata beiau dalam Sesi Perkongsian Pengalaman Universiti-Industri-Komuniti sempena Persidangan Kebangsaan Ketiga Pemindahan Ilmu 2016.

sabah68

Pihaknya juga membawa para pengusaha sayuran Kundasang ke Cameron Highlands untuk melihat kejayaan para petani di sini untuk meyakinkan mereka dalam mempelbagaikan tanaman dan menguruskan perladangan yang dapat mengatasi masalah yang ada.

"Usaha ini bukan mudah, terutamanya dalam menyediakan penyelesaian kepada masalah amalan pertanian setempat yang bergantung hampir sepenuhnya kepada baja kimia dan mengusulkan untuk mereka menggantikannya dengan penghasilan baja semi-organik dan baja organik mineral dengan menggunakan bahan tempatan di samping mendidik mereka dengan kaedah penanaman dan pengurusan penyakit mahu pun tanah secara lestari yang lebih berkesan," kata beliau.

Hasilnya, mereka berjaya mendidik petani menggunakan 80% baja organik dengan hasil yang lebih tinggi, tanah yang lebih mudah diurus, membantu menyelesaikan masalah lalat malah dapat mengurangkan kos usaha mereka.

"Malah hari ini, terdapat pula dalam kalangan mereka yang menjadi usahawan dengan menghasilkan baja organik menggunakan bahan tempatan untuk petani-petani lain dalam menguruskan tanaman mereka," kata beliau.

Tegas Susilawati, ini adalah contoh yang menunjukkan bagaimana ahli-ahli akademik dapat menggunakan ilmu mereka untuk turun padang menyelesaikan masalah setempat dan langkah seterusnya ialah untuk mengembangkan lagi usaha ini dan memastikan program seperti dapat diteruskan dalam jangka panjang, apatah lagi hasrat pihaknya ialah untuk mewujudkan 'Lembah Hijau' Kundasang.

Turut membentangkan kejayaan mereka ialah Eksekutif Penyelidik Bukit Merah Arowana Farm Sdn. Bhd yang terlibat bersama-sama kepakaran dari Universiti Malaysia Trengganu (UMT) dalam projek Penambahbaikan Pengeluaran Arowana Emas Scleropages Formosus Melalui Aplikasi Pendekatan Genetik; Felo Kanan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr. Ng Kim Soon yang berkongsi pengalaman kerjasama dengan Miaow Miaow Food Products Sdn Bhd untuk Menaik Taraf Sistem Goreng Berterusan untuk Melanjutkan dan Memaksimumkan Penggunaan Minyak Masak Tanpa Menggunakan Olahan Kimia ke atas Minyak Goreng; Pengurus Hal-Ehwal Korporat Pertubuhan Peladang Kawasan Johor Bahru Selatan Norhuraiza Md. Kena yang terlibat dalam Meningkatkan Pengeluaran Benih Ikan Menggunakan Mikroalga dan Makanan Hidup Kopepod Sebagai Diet Awal yang dijalankan bersama kepakaran dari UMT serta seorang pengusaha Arkeo-Pelancongan di Sg. Batu Kedah Mohd. Faiz Abu Mansor yang mendapat faedah dari Program Pemindahan Ilmu Berasaskan Projek Penyelidikan Arkeologi Tapak Sungai Batu Kedah yang diketuai Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM Profesor Dato' Dr. Mokhtar Saidin.

Teks: Mohamad Abdullah / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 962

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024