USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

PENSYARAH MUDA CETUS INSPIRASI MELALUI MOTIVASI DAN BERBAKTI PADA ANAK BANGSA

USM, PULAU PINANG, 2 Disember 2016 - Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Dr. Syazwani Drani baru-baru ini telah dijemput oleh Sekolah Kebangsaan Pondok Tanjung (SKPT) untuk menyampaikan ceramah motivasi sempena sambutan 100 tahun penubuhannya yang dirasmikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Taiping.

Menurut Syazwani, beliau telah menyampaikan ceramah motivasi bertajuk “Transformasi Minda: Ibu Bapa Prihatin Anak Cemerlang”.

"Ceramah motivasi ini memberi penekanan dan fokus tentang peranan ibu bapa dalam mendidik anak pada zaman kini iaitu yang disifatkan kian mencabar," jelas anak kelahiran Taiping yang merupakan bekas murid SKPT dari tahun 1993 hingga 1998.

Beliau merupakan anak kampung yang mempunyai latar belakang keluarga yang kurang berkemampuan dan berbekalkan prinsip hidup “Kenali Potensi Diri Kejayaan Pasti Menanti”, ianya telah membuatkan insan hebat ini bertekad untuk melakar kecemerlangan dalam bidang akademik dan pembangunan komuniti.

Beliau juga merupakan pelajar pertama SKPT yang mempunyai kelayakan akademik di peringkat Doktor Falsafah (Ph.D).

Syazwani juga telah berkongsi kejayaan yang dikecapi beliau dan berharap lebih ramai lagi pelajar-pelajar di SKPT akan melakar kejayaan demi kejayaan bagi mengharumkan nama SKPT ke peringkat yang lebih tinggi dan dibanggakan.

Pensyarah muda ini tidak pernah kenal erti putus asa demi membangkitkan semangat anak bangsa agar terus mencipta kejayaan dan kini beliau bergiat aktif dalam menjalankan ceramah motivasi kepada ibu bapa dan pelajar.

Kebanyakan peserta yang hadir terdiri daripada ibu bapa dan pelajar telah menjadikan beliau sebagai role model dan sumber inspirasi agar anak-anak mereka juga mampu mengecapi kejayaan.

Teks: Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1699

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024