USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

HARI AIDS SEDUNIA: APA PERANAN KITA?

untitledhukyu

KUBANG KERIAN, 1 Disember 2016 – Human Immunodeficiency Virus (HIV) adalah virus yang menyerang sistem tubuh manusia sehingga tidak berdaya melawan serangan penyakit. 

Transmisi jangkitan HIV boleh berlaku melalui darah atau cecair badan yang tercemar seperti perkongsian jarum suntikan dalam kalangan penagih dadah, hubungan seks bebas atau tidak selamat serta daripada ibu kepada anak semasa mengandung, proses kelahiran atau penyusuan ibu.

HIV adalah sinonim dengan Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS).  AIDS ialah jangkitan HIV peringkat akhir apabila sistem imuniti ketahanan badan seseorang lumpuh dan mudah diserang pelbagai jenis penyakit atau barah yang tertentu.

Bercakap mengenai sejarah HIV, Pensyarah Kanan Jabatan Perubatan Masyarakat, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Profesor Madya Dr. Wan Mohd Zahiruddin Wan Mohammad berkata, kes HIV pertama di Malaysia berlaku pada tahun 1986. 

Semasa awal wabak tersebut melanda, kes HIV banyak dilaporkan melibatkan penagih yang mengambil dadah melalui suntikan dan berkongsi jarum.  Walau bagaimanapun, selepas 15 tahun, keadaan mula berubah yang mana jangkitan HIV lebih banyak berlaku secara hubungan seks sama ada heteroseksual mahupun homoseksual.

“Pembawa HIV biasanya kelihatan normal dan tidak menyedari dirinya dijangkiti virus tersebut kerana virus ini biasanya mengambil masa beberapa tahun untuk melumpuhkan sistem ketahanan tubuh sehingga mereka jatuh sakit dan menjadi pesakit AIDS.

Sekarang ini, hampir separuh daripada kes adalah dihidapi oleh golongan yang berumur 30 hingga 39 tahun dan ini merupakan satu kerugian kerana kumpulan umur ini dianggap produktif bagi sesebuah negara,” tambah beliau.

1 Disember 2016, Hari Aids Sedunia bertemakan ‘Hands Up For HIV Prevention’ yang mana akan memberikan penekanan terhadap sokongan program serta usaha berkaitan pencegahan HIV/AIDS sejajar dengan saranan baru yang ditetapkan untuk mengakhiri wabak HIV/AIDS sebagai ancaman kesihatan awam sebelum tahun 2030. 

Biarpun sekarang ini banyak kempen pencegahan penyakit seperti denggi, zika dan sebagainya kerap diadakan namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan Majlis Aids Malaysia sentiasa menjalankan kempen kesedaran tentang HIV/AIDS malah turut mendapat sokongan daripada badan NGO serta selebriti dalam memberikan kesedaran serta mengubah stigma masyarakat.

“Sehingga ke hari ini, masih terdapat faktor stigma dan diskriminasi sama ada dalam kalangan mereka yang berstatus positif HIV, keluarga atau anak-anak mereka dan juga kepada golongan-golongan tertentu yang dikaitkan dengan risiko AIDS dan pandangan sebegitu perlu dihapuskan dan yang lebih penting, rawatan kepada pengidap HIV/AIDS berupa ubatan anti-retroviral serta sokongan lain perlu ditingkatkan seiring dengan usaha menuju sifar HIV dan ini memerlukan dana serta sokongan kewangan yang besar terutamanya daripada pihak kerajaan dan juga swasta,” ujar beliau lagi.

Sempena sambutan Hari Aids Sedunia, Wan Mohd Zahiruddin menyeru masyarakat mengamalkan cara hiudp yang sihat dan mematuhi ajaran agama secara universal yang melarang perbuatan negatif dan maksiat yang boleh menyebabkan jangkitan HIV seperti seks bebas, lesbian, gay, bisexual, transgender (LGBT) serta penagihan dadah. 

“Masyarakat perlu memainkan peranan memberikan sokongan kepada usaha dan program kesedaran dan pencegahan HIV/AIDS sama ada oleh kerajaan mahupun NGO serta elakkan stigma dan diskriminasi kepada pengidap HIV/AIDS,” katanya.

Teks: Lailatul Hafiza Abdul Rashid / Foto: Mohd Amin Syafiq Sakri

  • Created on .
  • Hits: 2322

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024