KAMPUS KEJURUTERAAN USM TERIMA ANUGERAH KEPATUHAN ORGANISASI KWSP
SEBERANG JAYA, 30 November 2016 - Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) adalah antara lima organisasi yang menerima penghargaan khas daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini hari ini.
Menurut Timbalan Bendahari, Kampus Kejuruteraan, Norehan Mohd Basheer, penghargaan tersebut diberikan di atas kepatuhan organisasi terhadap Akta KWSP 1991 dan komitmen menjelaskan caruman dengan teratur pada setiap bulan.
"Kita merupakan salah satu organisasi yang telah memberikan komitmen terbaik bagi tempoh tiga tahun iaitu dari 2014 sehingga 2016," katanya.
Menurutnya lagi, penilaian dibuat oleh Ibu Pejabat KWSP berdasarkan pematuhan kepada masa, ketepatan maklumat dan konsisten sepanjang tiga tahun tanpa gagal.
Kampus Kejuruteraan USM merupakan antara lima organisasi terbaik di bawah kawalan KWSP Cawangan Seberang Jaya yang mengawal sebanyak 21,000 organisasi di bawahnya.
Sijil penghargaan disampaikan oleh Ketua Negeri, KWSP, Pulau Pinang, Aminuddin Abdul Aziz dalam majlis ringkas di Hotel Sunway, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Pengurusan KWSP Seberang Jaya turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pengurusan universiti.
Teks: Mohd Kamil Ashar
- Created on .
- Hits: 1369