USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

MUHAMMAD KASHFY TERIMA ANUGERAH UEM 2016

UEM 0090kl

KUALA LUMPUR, 23 November 2016 – Pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam Universiti Sains Malaysia (USM) Muhammad Kashfy Zainalfikry, 23, mengharumkan nama universiti apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Kejuruteraan UEM 2016.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi UEM Group Berhad, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dalam majlis ringkas di The Odyssey, Mercu UEM, Kuala Lumpur Sentral di sini hari ini.

Berbekalkan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.71 dengan projek bertajuk ‘A Study On Hexagonal Modular Cell as Channel Bed for Open Channel’, Kashfy berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000 beserta sijil.

UEM DSCN0107

“Secara jujur, saya tidak menyangka bahawa saya merupakan penerima anugerah ini kerana ramai lagi calon yang bukan sahaja lebih layak malah hebat dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya yang kini sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Hydroinformatic di Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar (REDAC) melalui Fast Track PhD Programme.

Menurut anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, tiada tips rahsia untuk berjaya kecuali memasang niat yang betul dan bersungguh-sungguh dalam pembelajaran akan membawa keputusan positif.

“Dengan niat yang betul, pastinya kesungguhan akan hadir dalam jiwa seorang pelajar kerana sedar bahawa kesungguhan, keletihan menuntut ilmu itulah yang dinilai oleh Allah SWT dan diberi ganjaran pahala yang tidak ternilai manakala gred A hanyalah bonus sampingan,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau ingin mengasah setajam-tajam bakatnya dalam bidang penyelidikan selain turut melibatkan industri luar dalam penyelidikannya bagi membentuk hubungan positif antara kajian universiti dan situasi semasa industri.

UEM 0051

Sementara itu, Penyelia Projek, Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol ditemui dalam majlis sama turut menzahirkan kesyukuran di atas kejayaan buat kali kedua pelajar projek tahun akhir beliau terpilih selepas Azura Abd Rahman menerimanya pada tahun 2014.

Katanya, tiada rahsia yang digunakan dalam pencapaian kedua-dua pelajarnya selain daripada hasil usaha pelajar itu sendiri.

“Mereka sendiri sudah berpotensi besar untuk berjaya dan saya cuma memberi panduan sebagai seorang penyelia”, katanya.

Menurut pensyarah muda yang juga alumni USM itu berkata, kejayaan seseorang pelajar harus lahir daripada kemahuan mereka sendiri dan minat yang mendalam dalam sesuatu pekerjaan yang diceburi, dan bukan kerana dipaksa.

“Signifikannya projek tahun akhir ini untuk UEM amat besar iaitu ia mesra alam, kos lebih murah serta dapat mencegah daripada berlakunya hakisan bukan sahaja di longkang malah boleh juga diaplikasikan di tebing sungai,” jelas Mohd Remy.

“Saya sentiasa menggalakkan pelajar-pelajar projek tahun akhir saya bukan sahaja menceburi atau menghasilkan produk yang berinovasi, malahan saya beri galakan kepada mereka menyertai pertandingan di peringkat nasional dan antarabangsa bagi membina keyakinan diri dan softskill yang mereka tidak akan perolehi sewaktu di dewan kuliah,” katanya lagi.

UEM DSCN0131

Turut menerima anugerah sama yang mula diperkenalkan pada tahun 2013 itu ialah siswazah daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Sehingga kini, tiga orang telah menerima anugerah ini daripada USM bermula 2014 iaitu Azura Abd Rahman daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam diikuti dengan Chuah Wei Hoong daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral dan pada tahun ini sekali lagi dimiliki oleh siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam iaitu Muhammad Kashfy.

Yang hadir sama meraikan kejayaan itu ialah Timbalan Dekan (Akademik, Pelajar dan Alumni), Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam USM, Profesor Dr. Taksiah A. Majid; Pengarah Urusan Kumpulan UEM Group Bhd, Dato’ Izzaddin Idris; Ahli Lembaga Pengarah UEM dan wakil-wakil dari universiti terlibat.

Teks & Foto: Mohd Kamil Ashar

  • Created on .
  • Hits: 1018

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024