USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

NRESTYP 2016 CUNGKIL BAKAT SAINTIS MUDA NEGARA

IMG 2388

PULAU PINANG, 27 November 2016 - Northern Region Engineering, Science & Technology Youth Program 2016 (NRESTYP 2016) menjadi platform untuk saintis-saintis muda negara mencungkil bakat melalui penyelidikan sains dan kejuruteraan.

Program anjuran Universiti Sains Malaysia (USM) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) dengan kerjasama CREST melibatkan 108 orang pelajar membabitkan 34 kumpulan dari 19 buah sekolah menengah kawasan utara terpilih telah membentangkan produk penyelidikan.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, tujuan utama diadakan pertandingan ini adalah ingin memupuk pemahaman pelajar-pelajar sekolah bahawa sains dan kejuruteraan merupakan tunjang kepada masa hadapan negara.

IMG 2347

"Mengikut statistik Akademi Sains Malaysia (ASM), hanya 90,000 pelajar dari 500,000 pelajar yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini (25%) menceburi sepenuhnya bidang sains.

"Ini menunjukkan bilangan yang amat kecil bagi memperkasakan pelapis muda saintis negara di masa mendatang," katanya.

Tambah Abdul Rahman, menjadi peranan semua pihak terlibat untuk meningkatkan bilangan pelajar yang bukan sahaja cemerlang akademik malah benar-benar meminati bidang sains terutamanya."

IMG 2282

IMG 2270

Atas sebab itulah pertandingan ini banyak melibatkan peserta dari tingkatan satu dan dua kerana mereka masih di peringkat awal bagi memupuk minat mendalam dalam sains dan kejuruteraan selepas menduduki PT3.

Profesor Dr. Abdul Rahman Mohamed juga merangkap Pengerusi Akademi Sains Malaysia (ASM) Northern Region Chapter & Fellow ASM.

Beliau berucap di majlis penutup dan penyampaian hadiah di Final Presentation Northern Region Engineering, Science & Technology Youth Program 2016 di Sains@USM, Bukit Jambul, di sini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM), Hazami Habib; Ketua Pegawai Eksekutif CREST, Jafri Ibrahim dan pegawai-pegawai utama USM dan ASM.

IMG 2404

Jelas beliau lagi, pihak USM dan ASM sentiasa bekerjasama bagi mengumpulkan pelbagai masalah dan idea dari industri dan para pensyarah Institut Pendidikan Tinggi bertujuan mencari pendekatan terbaik memupuk minat pelajar ke arah bidang sains dan kejuruteraan.

Pada pertandingan ini, 6 buah sekolah telah terpilih ke peringkat akhir bagi membentangkan hasil penyelidikan di hadapan kenamaan.

MRSM Taiping, Perak menggondol tempat pertama dan kedua, manakala tempat ketiga disandang oleh MRSM Pengkalan Hulu, Perak.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar / Foto: Mohd Fairus Md. Isa

  • Created on .
  • Hits: 1301

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024