USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

ORANG RAMAI PERLU LEBIH CAKNA DENGAN ISU KESELAMATAN UBAT

klantan78

KUBANG KERIAN, 24 November 2016 – Orang ramai dinasihat menggunakan ubat-ubatan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang terbukti kelulusannya dibuat setelah melalui kajian-kajian saintifik yang berkualiti dan melalui prosedur yang diiktiraf.

Menurut Timbalan Pengarah Kanan Jabatan Farmasi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Tn. Hj. Zainol Abidin Hamid, bagi memastikan ubat selamat, berkesan dan berkualiti, pihak KKM telah mengeluarkan label nombor kelulusan pada botol ubat dan pengguna boleh menyemak kelulusan tersebut.

Beliau berkata, pengambilan ubat perlu mengikut dos yang betul kerana jika terlebih dos akan memberi kesan yang buruk kepada pesakit tetapi jika terkurang dos pula, ubat tersebut tidak dapat memberikan kesan maksimum seperti yang diharapkan.

Jelas beliau lagi, pesakit perlu mengambil ubat yang telah dikhaskan kepada diri sendiri dan tidak boleh berkongsi ubat dengan orang lain walaupun mempunyai simptom penyakit yang sama kerana kesesuaian sesuatu ubat itu berbeza antara individu.

Bercakap mengenai pengambilan ubat dengan betul, pesakit perlu mendapatkan nasihat dan bimbingan daripada doktor atau ahli farmasi tentang cara mengambil ubat sediaan khas seperti ubat sedut 'inhaler', suntikan insulin, krim, losyen, syampu dan ubat titis mata bagi mendapat kesan yang terbaik.

Zainol turut menjelaskan bahawa tempoh pengambilan sesuatu ubat bergantung kepada jenis ubat misalnya antibiotik perlu diambil sehingga habis jika tidak kuman yang ada boleh membiak semula, bagi ubat tahan sakit, ia hanya diambil sekiranya perlu sahaja manakala ubat bagi penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetes, jantung dan lain-lain, kebiasaannya ia perlu diambil secara berterusan mengikut arahan doktor.

Kadang-kadang terdapat segelintir pesakit mengalami kesan sampingan pengambilan ubat yang mana mungkin berlaku dalam beberapa hari kerana dalam tempoh itu badan cuba menyesuaikan diri dengan ubat tersebut tetapi sekiranya kesan tersebut berpanjangan dan pesakit tidak dapat bertahan, mereka boleh memaklumkan kepada doktor untuk mengubah dos yang bersesuaian ataupun menukar kepada jenis ubat yang lain. Walau bagaimanapun, kesan tersebut adalah kesan yang ringan sahaja seperti rasa pening dan loya.

Zainol turut menjelaskan cara penyimpanan ubat bergantung kepada empat aspek iaitu suhu, kelembapan, cahaya, dan keselamatan capaian. Kebanyakan ubat tidak tahan dengan suhu yang tinggi dan kebiasaannya terdapat label pada ubat berkenaan tentang cara penyimpanan sama ada pada suhu bilik atau dalam peti ais. Bagi suhu bilik, ubat boleh disimpan dalam suhu 15 hingga 30 darjah celsius.

"Tanggapan masyarakat bahawa menyimpan ubat dalam peti sejuk akan memberikan ketahanan pada ubat adalah salah kerana bukan semua ubat boleh disimpan dalam peti sejuk, contohnya ubat sirap ataupun suspensi ampaian yang telah dicampurkan dengan air boleh disimpan dalam peti sejuk manakala ubat tablet atau kapsul tidak boleh disimpan dalam peti sejuk kerana terdapat bahan aktif dalam ubat tablet yang akan mengalami pembekuan dan tidak dapat mengurai dengan baik dalam perut dan tidak akan memberi kesan yang baik.

"Bagi tujuan keselamatan, ubat untuk kegunaan luar perlu disimpan secara berasingan dengan ubat untuk dimakan kerana bimbang bahan yang digunakan untuk ubat kegunaan luar itu akan mencemari ubat yang kita makan," katanya.

Selain itu, elakkan daripada menyimpan ubat dengan cara mencampurkan beberapa ubat dalam satu bekas dengan tujuan untuk mudah memakannya. Seeloknya gunakan bekas yang telah dibekalkan oleh hospital supaya tidak tertukar ubat atau berlakunya interaksi antara ubat jika bersentuhan lama selain dapat melihat tarikh luput yang tepat.

Zainol turut menasihatkan orang ramai agar terus bertanya kepada pihak farmasi ataupun doktor sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah atau persoalan mengenai ubat.

Teks: Mohd Hafiz Yaacob / Foto: Abdul Aziz latif

  • Created on .
  • Hits: 1324

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024