USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

KERJASAMA BERSAMA WARGA USM KEARAH ZERO DENGGI

untitleddfgfdgdgfd

USM, PULAU PINANG, 23 November 2016 - Sejajar dengan peningkatan kes denggi di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semua pihak diseru menanam sikap bertanggungjawab dalam memastikan persekitaran bersih serta tidak menggalakkan pembiakan nyamuk.

Sehubungan itu, Pusat Sejahtera Universiti Sains Malaysia (USM) yang bertanggungjawab memberi perkhidmatan perubatan dan kesihatan kepada warga kampus khasnya para pelajar, telah mengadakan pelbagai program dan aktiviti bagi memastikan kampus USM berada pada tahap bebas denggi paras zero.

Bermula dengan kajian berkaitan pengetahuan dan amalan dalam kalangan pelajar tahun satu, Pusat Sejahtera selanjutnya menganjurkan beberapa siri ceramah kesedaran kepada para pelajar secara berperingkat agar pelajar tidak lalai dengan tanggungjawab mereka dalam sama-sama menjaga kebersihan persekitaran khasnya di sekeliling desasiswa mereka.

Bagi menyemarakkan lagi usaha membasmi denggi, Pusat Sejahtera telah menganjurkan aktiviti gotong-royong di seluruh desasiswa bersama-sama dengan para pelajar tahun satu mengikut desasiswa masing-masing.

Setiap kumpulan dikehendaki mencari tempat-tempat yang mempunyai kawasan takungan air bersih dan berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik serta juga aktiviti melukis poster dan mencipta cogankata membasmi aedes yang turut diadakan sebagai acara sampingan.

Para pelajar diketuai oleh para fasilitator dari Pusat Sejahtera dengan kerjasama pelajar-pelajar senior yang bertugas sebagai Pembimbing Pelajar dari program Siswa Lestari.

Setiap usaha yang murni ini jika diteruskan sebagai aktiviti tahunan sebagai salah satu dari pengisian program siswa lestari bukan sahaja boleh menyumbang kepada kebersihan kawasan tetapi juga boleh membantu interaksi sihat di antara para pelajar baru USM setiap tahun.

Jumlah kes denggi dalam kampus masih kecil berbanding dengan jumlah keseluruhan di Pulau Pinang, tetapi adalah lebih baik jika tiada kes iaitu mencapai zero denggi.

Adalah tidak mustahil untuk menjadikan kampus zero denggi jika semangat menjaga kebersihan ada pada semua sama ada secara langsung ataupun tidak langsung kerana nyamuk boleh bertelur dan membiak dalam masa 24 jam pada air bertakung walaupun di dalam sesudu air bertakung termasuk di dalam tangki pam air di tandas jika penutupnya renggang atau terbuka serta juga di celah dahan pokok besar yang banyak terdapat di dalam kampus.

Pusat Sejahtera sebagai pusat perkhidmatan kesihatan dan pergigian akan terus berusaha menjalankan aktiviti seterusnya sebagai pendorong kelestarian dari aspek kesihatan umum dan mencari inspirasi baru dalam pengisian aktiviti ‘COMBI’ (Community Behavioural Impact) yang merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu satu aktiviti menyedarkan masyarakat umum tentang pentingnya membasmi denggi.

Teks Asal: Matron Azima Hassan
Teks Suntingan: Hafiz Meah Ghouse Meah
Foto: Ahmad Tarmizi Abu Baker

  • Created on .
  • Hits: 1707

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024