USM NEWS PORTAL 

Berita Mutakhir

USM NAIB JOHAN PERTANDINGAN DEBAT DIRAJA GENDER PERINGKAT KEBANGSAAN 2016

untitledsdcd

GOMBAK, 21 November 2016 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini membuat warganya bangga apabila pasukannya telah mendapat Naib Johan untuk Pertandingan Debat Perdana Diraja Gender peringkat kebangsaan tahun 2016.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Asma Ismail mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dengan kejayaan yang dikecapi ini dan berharap ianya menjadi inspirasi buat pelajar-pelajar lain untuk terus membawa nama USM ke aras yang lebih tinggi.

USM dibarisi dua pendebat yang hebat iaitu pelajar tahun akhir kursus Sastera dengan Pendidikan, Khairuddin Nayan dan pelajar tahun tiga kursus Fizik Perubatan, Ammaina Jamaluddin.

“Saya berasa sungguh gembira kerana ini adalah kali pertama USM berjaya layak ke peringkat akhir pertandingan debat ini dan berpeluang untuk berlawan bersama-sama dengan nama-nama hebat,” kata Khairuddin.

Debat ini yang diadakan pada 18-21 November 2016 memberi fokus kepada perbincangan dan perdebatan berkaitan isu-isu gender dalam negara dan antarabangsa dan usul pertandingan akhir adalah berkaitan dengan "kesaksamaan gender dijadikan agenda kerjasama serantau".

gender4

Pentas akhir debat ala Parlimen British ini melibatkan empat Universiti Awam iaitu USM, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Johan disandang oleh UIAM.

Penyertaan kali ini melibatkan sebanyak 56 buah pasukan dari UA dan Universiti Swasta seluruh Malaysia.

Pertandingan ini adalah anjuran Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW), Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dan UIAM.

Turut hadir semasa pertandingan akhir adalah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Hajah Azizah Datuk Seri Panglima Mohd Dun.

Teks: Nor Rafizah Md. Zain & Hafiz Meah Ghouse Meah

  • Created on .
  • Hits: 1851

Pusat Media dan Perhubungan Awam
Media and Public Relations Centre

Level 1, Building E42, Chancellory II, Universiti Sains Malaysia, 11800, USM, Pulau Pinang, Malaysia
Tel : 04-653 6495 | Faks : 04-653 6484 | Emel : This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it. |  Web : www.usm.my

All Rights Reserved. Universiti Sains Malaysia © 2024